SUKANKINI

UiTM Lions terima suntikan empat penaja

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 FEB : Pasukan ragbi Universiti Teknologi MARA (UiTM), UiTM Lions mendapat suntikan moral tambahan menjelang saingan kejohanan Liga Ragbi Premier Malaysia 2019.

Bagi musim ini, UiTM Lions mendapat suntikan empat penaja dalam membantu pasukan antaranya Syarikat Kumibrothers, Hyba Quest dan SkyWorld Development Sdn Bhd selain Fitech PIT selaku penaja jersi.

Ketua Jurulatih UiTM Lions, Zamri Abd Kahar berkata, jersi yang bakal digunakan itu diyakini membantu pemain untuk merasa lebih selesa dan sesuai mengikut keadaan fizikal serta cuaca di Malaysia.

“Penajaan ini sekali gus dapat membantu syarikat tempatan dalam menghasilkan fabrik pakaian sukan yang lebih berkualiti setaraf jenama sukan dari luar negara.

“Sokongan syarikat itu secara tidak langsung dapat memastikan pasukan ragbi UiTM mampu untuk terus bertanding ke peringkat lebih kompetitif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Memperkenalkan Jersi dan Penaja serta Pemain Pasukan Ragbi Uitm Lions Musim 2019 kejohonan Liga Ragbi Malaysia di Kompleks Sukan, UiTM, di sini, hari ini.

UiTM Lions akan membuat kemunculan kali ketujuh di Kejohanan Liga Ragbi Premier Malaysia 2019 yang akan bermula dari 17 Februari hingga 24 Mac ini.

Pasukan itu diundi dalam kedudukan Kumpulan A bersama juara bertahan Keris Conlay, UPM Angels dan SSTMI Tsunami.

UiTM Lions yang dibarisi mahasiswa UiTM mula menjalani latihan pusat sejak 17 Januari lalu bagi mempersiapkan pasukan dalam memberi cabaran kepada semua pasukan bertanding.

Malah, ia turut diperkuatkan dengan kehadiran empat pemain import dari Fiji.

 


Pengarang :