1,485 PATI ditahan dalam Operasi Bersepadu di seluruh negara | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

1,485 PATI ditahan dalam Operasi Bersepadu di seluruh negara

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Seramai 1,485 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Bersepadu dilancarkan Jabatan Imigresen di seluruh negara mulai tengah malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, tangkapan itu hasil pemeriksaan Jabatan Imigresen dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendaftaran Negara dan Angkatan Pertahanan Awam ke atas 3,750 warga asing.

“Operasi yang dijalankan Ibu Pejabat Jabatan Imigresen pula telah berjaya menahan 218 PATI daripada 418 yang diperiksa di sebuah pusat hiburan dan dua kediaman sekitar Lembah Klang atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini, lapor BERNAMA.


Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan sebanyak 2,646 operasi penguatkuasaan di seluruh negara dan memeriksa seramai 40,321 orang sejak 1 Januari hingga Khamis lalu.

Dari jumlah itu, seramai 9,452 PATI daripada pelbagai warganegara ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen antaranya tinggal lebih masa, memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Khairul Dzaimee berkata, seramai 176 majikan turut ditahan sepanjang tempoh berkenaan manakala 151 majikan didakwa dan diambil tindakan.

“Daripada keseluruhan PATI yang ditahan, tangkapan tertinggi adalah warga Indonesia iaitu seramai 3,261 diikuti Bangladesh seramai 2,378, Filipina 849, Myanmar 868 dan bakinya adalah dari lain-lain negara,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen menegaskan akan mengambil segala langkah yang perlu dan tindakan tegas untuk menangani isu berkaitan PATI.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan majikan dan pekerja asing mematuhi undang-undang negara.

Langkah tegas itu, katanya, perlu diambil bagi mengatasi masalah lambakan PATI di negara ini.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next