SELANGOR

ADN serah bukti, gesa segera baik pulih Lebuhraya Pulau Indah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 MAC : Gara-gara geram dengan peningkatan jumlah kemalangan di Lebuhraya Pulau Indah, Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri menyerahkan bukti bergambar.

Bukti itu diserahkan kepada EXCO Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim ketika sesi Membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan DYMM Tuanku Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Azmizam berkata, beliau kesal apabila keadaan lebuhraya di situ masih lagi sama sejak ia dibina 23 tahun lalu.

“Jika diikutkan ketika awal pembinaannya pada 1996, lebuhraya itu hanya boleh menampung kira-kira 22,000 kenderaan sahaja sehari.

“Kemudiannya pada 2013, kajian menunjukkan jumlah kenderaan sehari di lebuhraya sama meningkat kepada 57,000, kini dipercayai jumlah kenderaan sekitar 62,400 sehari yang melalui Lebuhraya Pulau Indah,” katanya.

Azmizam berkata, jumlah kemalangan di lebuh raya itu juga bertambah akibat keadaan lebuhraya yang gelap pada waktu malam.

“Sekarang saya akan serahkan kesemua bukti bergambar mengenai kejadian kemalangan di situ.

“Saya amat berharap supaya selepas ini saya tidak akan lagi bercakap mengenai Lebuhraya Pulau Indah pada sidang akan datang, semoga Kerajaan Negeri bertindak segera kerana perkembangan sangat pesat di Pulau Indah,” katanya.


Pengarang :