GLOBALNASIONAL

AS ancam sekat institusi kewangan bantu Maduro

WASHINGTON, 7 MAC: Amerika Syarikat (AS) akan mengenakan sekatan kepada institusi kewangan asing yang menyumbang dana kepada Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.

Dalam satu wawancara dengan FOX Business Network pada Selasa, Penasihat Keselamatan Negara AS, John Bolton berkata, Washington akan “meneliti sama ada akan mengenakan sekatan baharu bagi menyekat rejim pentadbiran Maduro”.

Pada masa sama, Wakil Khas AS ke Venezuela, Elliott Abrams berkata, dalam satu taklimat media “jelas terdapat kemungkinan” AS akan mengenakan sekatan sekunder terhadap rakyat, entiti bukan AS atau syarikat yang terikat dengan kerajaan Maduro.

Ia bertujuan memberi tekanan terhadap Maduro ekoran AS menyuarakan sokongan kepada pemimpin pembangkang, Juan Guaido yang mengisytiharkan dirinya sebagai Presiden.

Pentadbiran Trump mengiktiraf Guaido sebagai “presiden interim” Venezuela pada 23 Januari, sebaik Maduro secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Presiden untuk penggal kedua.

Maduro kemudian bertindak balas dengan memutuskan hubungan diplomatik dengan AS. –BERNAMA


Pengarang :