NASIONAL

Hanya 17 peratus perniagaan Malaysia ada CEO wanita

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Hanya 17 peratus perniagaan di Malaysia melantik wanita sebagai Ketua Pegawai Eksekutif atau Pengarah Urusan.

Rangkaian perkhidmatan profesional global, Grant Thornton International Ltd berkata, menerusi kajian ‘Wanita dalam Perniagaan’ mendapati peratusan wanita yang memegang jawatan kepimpinan kanan menurun kepada 23 peratus daripada 28 peratus yang direkodkan pada Mac tahun lalu.

Katanya, ia turut mendapati 16 peratus daripada responden memetik kekurangan akses kepada peluang perkembangan pekerjaan serta tanggungjawab di luar kerja, sebagai halangan dalam mencapai tahap pengurusan kanan.

“Selain itu, 14 peratus responden berkata mencari masa seiring tanggungjawab pekerjaan teras juga merupakan halangan untuk diatasi sebelum dapat memenuhi peranan sebagai eksekutif.

“Ini menunjukkan kedudukan wanita sebagai ketua masih jauh,” katanya lapor BERNAMA.

Dalam kajian itu, 63 peratus perniagaan di Malaysia mengambil inisiatif meningkatkan kesaksamaan jantina.

Grant Thornton berkata, 26 peratus daripada perniagaan tempatan menyediakan khidmat pementoran serta bimbingan untuk wanita, manakala 25 peratus syarikat melaksanakan waktu kerja fleksibel untuk membantu mereka.

Kaji selidik itu mendapati 95 peratus daripada perniagaan di negara ini mempunyai sekurang-kurangnya seorang wanita di peringkat pengurusan kanan tahun ini, peningkatan 15 peratus daripada 2018.

Sementara itu, BERNAMA turut melaporkan, rakan kongsi negara Malaysia Grant Thornton Malaysia, Datuk NK Jasani berkata, perlu adanya sokongan yang lebih baik kepada wanita bekerja.

Katanya, ia terutamanya dalam membantu mereka meneruskan tanggungjawab di luar kerja, memandangkan ramai dalam kalangan mereka meninggalkan pekerjaan untuk menjaga anak.

“Dalam aspek ini, kerajaan menerima gesaan untuk membuka pusat penjagaan kanak-kanak di semua pejabat kerajaan, dengan Parlimen menjadi lokasi pertama, dan mula beroperasi tahun ini.

“Keputusan untuk menubuhkan pusat penjagaan kanak-kanak itu adalah sejajar dengan dasar kerajaan untuk menggalakkan penyertaan lebih aktif wanita dalam politik, pembuat dasar dan tenaga kerja.

“Syarikat korporat digalakkan mengikutinya kerana ia akan menggalakkan wanita untuk kembali berkerja,” katanya.

 


Pengarang :