Masjid Al-Noor di Christchurch, New Zealand yang diserang hingga mengorbankan 51 nyawa pada 15 Mac 2019
GLOBALNASIONAL

Insiden Christchurch: Angka maut meningkat 50 orang, 11 kritikal

CHRISTCHURCH, 17 MAC: Jumlah mangsa yang terkorban dalam kejadian tembakan dua buah masjid, di New Zealand meningkat kepada 50 orang, kata polis hari ini.

Kematian tambahan itu ekoran jenazah dikeluarkan dari masjid di bandar selatan itu, dengan pegawai forensik dari seluruh New Zealand terbang ke bandar berkenaan bagi membantu proses pengenalan.

Sokongan dan simpati tanpa henti itu dilakukan sehari selepas pengganas sayap kanan didakwa di mahkamah atas tuduhan melakukan serangan kejam di dua masjid New Zealand.

Pengganas warga Australia itu, Brenton Tarrant, yang duduk di kandang pesalah dalam keadaan bergari dan memakai baju putih penjara, berdiri tanpa sebarang emosi ketika hakim membacakan senarai tuduhan ke atasnya.

Diapit pegawai polis bersenjata, bekas jurulatih kecergasan berusia 28 tahun itu menunjukkan ibu jari atas bawah tanda ‘okay – simbol digunakan kumpulan berkuasa kulit putih seluruh dunia.

Tertuduh tidak memohon jaminan dan ditahan sehingga dihadapkan di mahkamah 5 April ini.

Seorang lagi lelaki ditahan, pada Jumaat akan dihadapkan di mahkamah, pada Isnin atas tuduhan ‘berkaitan’ serangan walaupun dipercayai tidak terbabit dalam insiden tembakan, kata Pesuruhjaya Polis Mike Bush kepada media hari ini.

Beliau berkata, dua lagi suspek yang ditahan dalam kepungan polis ketika serangan dan senjata ditemui dalam kenderaan mereka tidak terbabit secara langsung dengan Tarrant.

Seorang daripada dua yang ditahan, iaitu wanita, dibebaskan manakala tertuduh lelaki ditahan atas tuduhan senjata api, kata Bush.

“Buat masa ini, hanya seorang individu didakwa atas tuduhan berkaitan serangan. Saya tidak mengatakan apa-apa yang kukuh sehingga kami pasti berapa ramai yang terbabit. Namun saya berharap kami dapat memberi maklumat beberapa hari lagi,” katanya.

Serangan ke atas Masjid Al Noor dan Linwood menggegarkan negara yang biasanya aman, berbangga kerana mengalu-alukan pendatang lari akibat keganasan atau pendakwaan.

Fakta utama:

• 50 disahkan maut, dengan mangsa berusia dua tahun hingga lebih 60 tahun

• Daripada 50 orang yang cedera, 36 masih dirawat di hospital Christchurch dan 11 dalam keadaan kritikal, termasuk budak lelaki empat tahun yang dipindahkan ke hospital kanak-kanak Starship di Auckland

• Pembunuh, warga Australia kelahiran Dunedin, Brenton Harrison Tarrant, 28, dihadapkan di mahkamah atas tuduhan membunuh

• Dua lagi individu, seorang lelaki dan wanita, ditahan sebaik tembakan tiada kaitan dengan penyerang

• Wanita dibebaskan tanpa didakwa sementara lelaki didakwa atas kesalahan senjata api

• Penduduk Kiwi sudah menderma sebanyak NZ$4.3 juta (RM12.06 juta) untuk keluarga mangsa

*Sumber: BH Online

 


Pengarang :