RENCANA

Kereta oh kereta, bila lagi kau boleh terbang?

OLEH NAZLI IBRAHIM

Kepintaran seorang kanak-kanak yang baru menjangkau darjah lima di sebuah sekolah di Retroville, Texas memang tidak boleh disangkal.

Dalam usia mentah itu, dia sudah membina pelbagai peralatan canggih termasuk kereta terbang ‘Hover Car’. Ia digunakan untuk bersiar-siar dengan sahabatnya Carl dan Sheen terbang tinggi di atas awan.

Lebih mengejutkan, kereta terbangnya yang diperbuat daripada barangan terpakai seperti pelampung dan kipas turut dipersiapkan dengan sistem pertahanan berupa peluru berpandu!

Nanti dahulu, jangan cari di YouTube, kereta terbang ini hanya dapat disaksikan dalam siri animasi ‘Jimmy Neutron’ yang popular awal 2000-an. Kanak-kanak ini sering bersama robot anjingnya Goddard.

Dua karakter ini wujud dalam dunia kartun. Bagaimanapun dalam dunia sebenar impian melihat kereta terbang juga semakin hampir menjadi kenyataan.

Di Malaysia sendiri, Proton Holdings Bhd menerusi syarikat induknya Geely Holding dilaporkan sudah memiliki teknologi berkenaan tetapi mungkin belum mampu dikomersialkan.

Ia memiliki prototaip kereta terbang tetapi masih ada beberapa perkara perlu diteliti seperti lesen, undang-undang dan pasaran, kata seorang editor portal permotoran.

“Tiada yang mustahil tetapi saya lihat negara belum bersedia. Sistem, pengurusan, kawal selia, perlesenan dan aspek perundangan masih banyak belum diteliti.

“Buat masa ini, kekangan kos, praktikaliti, perlesenan, kawalan dan latihan menjadikannya kurang praktikal sebagai kenderaan massa,” kata Shamsul Yunos seperti dilaporkan BH Online.

Akhbar itu mengupas cadangan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof mengenai prototaip kenderaan tersebut bulan lalu.

Baru-baru ini, sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019, beliau menunjuk model kecil kereta seumpama itu.

Tambahnya, seperti dipetik Utusan Online, prototaip kereta itu dibangunkan oleh rakyat Malaysia di Jepun tanpa menggunakan wang negara dan ia dijangka siap hujung tahun ini.

Sementara di luar negara, teknologi pembuatan kereta terbang terus diteroka dan dikembang untuk mencapai tahap yang lebih murah dan mudah. Syarikat gergasi pengeluar pesawat seperti Boeing dan Airbus juga berminat.

Elon Musk, usahawan teknologi terkenal dunia, menimbulkan kegemparan pada Januari apabila memaklumkan syarikatnya Tesla berminat mengeluarkan kereta yang mampu terbang.

Model baru Roadster “mampu terbang”, katanya seperti dilapor portal Forbes, dengan melampirkan gambar kenderaan DeLorean daripada filem Back to the Future.

Namun beberapa jurutera automotif masih ragu-ragu dengan projek sedemikian. Dr Markus Lienkamp, dari Universiti Teknikal Munich, berkata, dari sudut teknikal, idea menambah sistem tekanan udara dan penggunaan bahan api cecair mampu menerbangkan kereta itu.

Bagaimanapun beliau berpendapat kenderaan itu sekadar satu pameran disebabkan ia terlalu berat dan menelan kos yang tinggi.

Manakala, Dr John Allport dari Universiti Huddersfield di United Kingdom juga berasa ragu dengan idea Musk, yang memang dikenali sering mengeluarkan idea-idea radikal.

Allport juga melihat kos yang besar, selain sistem tujahan itu hanya mampu mengapungkan kereta itu hanya dalam masa beberapa saat sahaja.

“Secara teknikalnya tidak ada yang mustahil mengenai apa yang beliau [Musk] cadangkan tetapi dari mana datangnya tenaga yang cukup untuk mengapungkan kereta itu?” katanya kepada Forbes.

Selain Tesla, AeroMobil mula mencipta prototaip sejak awal 1990-an lagi. Pada 2010, perintisnya Stefan Klein bersama Juraj Vaculik mengasaskan syarikat pengeluar kereta terbang dengan model versi 2.5.

Lima tahun kemudian, model prototaip eksperimen mereka, AeroMobil 3.0 menerima anugerah berprestij daripada majalah Popular Science bagi kategori Ciptaan Terbaik Tahunan.

AeroMobil 3.0 turut menjadi tarikan popular masyarakat pemotoran dunia menerusi penyertaan Expo 2015 dan acara lain bertaraf dunia.

Selepas itu, AeroMobil yang mendakwa “pencipta pertama” kereta jenis ini berjaya membina model lebih maju, iaitu AeroMobil 3.0 pada 2014 dan diikuti versi 4.0 pada 2017.

Ketika ini mereka sedang melakukan persiapan rapi sebelum melancarkan jualan AeroMobil 4.0 pada tahun 2020 sebelum diikuti AeroMobil 5.0 pada 2025.

Malah, syarikat yang berpangkalan di Slovakia ini juga sudah mula membuka tempahan kepada pihak yang berminat memiliki kereta terbangnya.

Di Pameran Auto Geneva baru-baru ini, model kereta terbang Pal-V Liberty Pioneer ditunjukkan. Sementara syarikat terkenal Goodyear memperkenalkan model kereta terbang Aero menggunakan tayar yang berpusing.

Semua perkembangan terkini menimbulkan tanda tanya, adakah detik-detik memandu kereta terbang seperti ditonton dalam filem cereka sains boleh kita nikmati tidak lama lagi?


Pengarang :