NASIONAL

Kerjaya polis sentiasa jadi pilihan belia

JEMPOL, 9 MAC: Kerjaya kepolisan sentiasa mendapat sambutan mengalakkan dan menjadi pilihan anak muda, di negara ini termasuk pemegang ijazah serta diploma.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, ia dibuktikan apabila pelatih yang memiliki kelulusan tinggi tetap memohon untuk mengikuti kursus asas konstabel.

“Walaupun syarat kelulusan minimum akademik iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diperlukan untuk menjadi konstabel, namun ia turut dipohon pelatih yang mempunyai Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), diploma dan ijazah.

“Untuk hari ini, seramai 25 pelatih mempunyai kelulusan ijazah, 107 pelatih berkelulusan diploma dan 28 pelatih berkelulusan STPM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis Perbarisan Tamat PLAK Konstabel Lelaki Siri 09/2018, di Pusat Latihan Polis Air Hitam di sini, hari ini.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menyambut baik kedatangan pelatih berkelulusan tinggi untuk menganggotai pasukan itu

“Selain merupakan salah satu profesion di bawah Skim Perkhidmatan Awam yang mempunyai jaminan jelas dari aspek faedah dan keistimewaan, cita-cita dan semangat patriotik antara faktor peningkatan permohonan masyarakat untuk menyertai PDRM,” katanya.

Noor Rashid juga berharap pelatih mempamerkan sikap profesionalisme, berkredibiliti dan berhemah tinggi ketika berurusan dengan masyarakat.

“Ini kerana perilaku diri dan tatacara yang dipamerkan semasa menjalankan tugas akan mencerminkan imej PDRM di mata masyarakat,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 359 pelatih lelaki berjaya menamatkan latihan asas selama enam bulan yang bermula sejak 9 September tahun lalu. -BERNAMA


Pengarang :