BERITA UTAMASELANGOR

MB: SLIM Selangor mulai April ini

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 MAC: Program SLIM Selangor membabitkan kakitangan awam akan diperkenalkan April ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pelaksanakan program berkenaan bertujuan menggalakkan semua masyarakat menjalani amalan hidup sihat dengan mendapatkan dan mengekalkan berat badan ideal.

Katanya, penjawat awam diberikan pelepasan untuk melaksanakan aktiviti sukan pada setiap Rabu bermula jam 4.30 petang.

“Selangor sentiasa menjadi contoh dalam pelbagai bidang pembangunan mahupun ekonomi, justeru bagi menyahut seruan menjadi negeri sihat, Kerajaan Negeri merangka program SLIM Selangor.

“Menjadi hasrat Kerajaan Negeri supaya dapat mendidik rakyat negeri ini bersama-sama menggalakkan gaya hidup sihat dalam komuniti setempat sekali gus, mencipta bangsa bersukan,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program Fit Malaysia 2019 peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan, di sini.

Amirudin berkata, pada peringkat awal, program SLIM itu akan dilaksanakan di Bangunan SUK terlebih dahulu.

“Selain itu, setiap agensi lain turut digalakkan menyertainya dan berharap akan diikuti di pihak swasta,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin mahu memperkukuhkan lagi sukan berprestasi tinggi di seluruh negeri.

Katanya, ketika ini terdapat lebih 90 pusat latihan di setiap daerah bagi melatih golongan muda pelbagai jenis sukan untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Sejak menjadi EXCO dahulu, saya mengembangkan bukan hanya pusat latihan negeri malahan daerah, kita mempunyai lebih 800 atlet jadi kita mahu program begini diperkukuhkan lagi,” katanya.

Menerusi Belanjawan Selangor 2019, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan RM21 juta untuk tahun hadapan bagi menjayakan hasrat Selangor Negeri Sihat.

Manakala, bagi Program SLIM akan dilaksanakan di bawah Gaya Hidup Sihat dengan peruntukan RM2 juta.

Program ini menggalakkan masyarakat untuk menjalani aktiviti fizikal secara rutin, mengamalkan pemakanan sihat, melakukan pemeriksaan kesihatan serta menghadiri kempen kesihatan yang dianjurkan bagi memastikan rakyat Selangor mempunyai pengetahuan yang luas serta bijak dalam penjagaan kesihatan.


Pengarang :