SELANGOR

MDKL perlu sedia terima limpahan kemajuan

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 16 MAC: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) perlu bersedia menerima limpahan kemajuan di kawasan pentadbirannya dari masa ke masa.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu kerana ketika ini kawasan pentadbiran MDKL mempunyai pembangunan besar daripada beberapa pemaju gergasi.

Katanya, selain pembangunan pesat, daerah berkenaan juga sedang menjadi tumpuan pelabur asing dan tempatan yang mampu menjana pendapatan berbilion ringgit.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, daerah ini menerima pelbagai pembangunan dan menjana pendapatan melebihi sasaran.

“Bukan hanya pembinaan infrastruktur seperti lebuh raya besar, namun pelabur dari syarikat negara China turur membawa pelaburan berjumlah RM5 bilion.

“Ini menunjukkan bukti daerah ini menerima lonjakan pembangunan dan memberi peluang warga kerjanya mencipta perubahan dan bersedia menerima limpahan kemajuan akan datang, seiring perubahan cara kerja bagi mengecapi hasrat Kerajaan Negeri ke arah Smart State,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Media dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) 2018, di Galeri Jualan, Bandar Rimbayu, di sini.

Hadir sama, Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid.

Pada masa sama, Amirudin berkata, cabaran bagi menghadapi limpahan pembangunan dan kemajuan itu perlu digalas semua pihak walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran akan datang.

“Sudah tentu limpahan ini bukan hanya sekadar perubahan kemudahan tetapi membabitkan sosial budaya masyarakat keseluruhannya.

“Justeru, dengan perkembangan yang berlaku ini, saya yakin warga kerja MDKL mampu memikul tugas dengan sebaiknya dan menjadikan Kuala Langat sebagai majlis perbandaran yang menjadi contoh kepada Pihak Berkuasa Tempatan lain,” katanya.


Pengarang :