NASIONAL

Pengurus akauntan songlap duit syarikat RM4.3 juta

KLANG, 9 MAC: Sebuah syarikat pembinaan di Bandar Bukit Tinggi, di sini kehilangan RM4.3 juta yang dilarikan pengurus akauntan syarikan terbabit yang pecah amanah.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian itu mula disedari pengurus bahagian sumber manusia syarikat terbabit, pada 1 Mac lalu sebelum membuat laporan polis.
Beliau berkata, pengurus sumber manusia itu mendapati salah seorang pekerja syarikat berkenaan, iaitu seorang lelaki tempatan berumur 49 tahun menghilangkan diri sejak 19 Januari lalu.

“Hasil siasatan dalaman syarikat mendapati lelaki itu disyaki melakukan pecah amanah sebagai pengurus akauntan syarikat dengan menggelapkan wang RM4.3 juta.

“Selain tidak hadir bekerja, dia meminta bantuan RM45,000 daripada syarikat itu yang dikatakan untuk membiayai kos pembedahan jantung di Singapura,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul Amar berkata, siasatan mendapati lelaki itu disyaki turut membuat beberapa tuntutan palsu yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dan individu lain.

“Jumlah kerugian keseluruhan adalah RM4.3 juta. Kes disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis sedang mengesan seorang lelaki yang dikenali Hoh Kian Kuen, 48, bagi membantu siasatan ke atas kes itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkannya ke balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut. -BERNAMA


Pengarang :