SEREMBAN, 30 Mac — Calon-calon yang disahkan bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau (dari kiri) Datuk Seri Mohamad Hasan (Barisan Nasional), Dr S. Streram (Pakatan Harapan), Mohd Nor Yassin (Bebas) dan R. Malarvizhi (Bebas) pada pengumuman calon di pusat penamaan calon di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan hari ini. PRK itu diadakan selepas Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan kemenangan Mohamad Hasan di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu adalah tidak sah dan terbatal. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMANASIONAL

Pertandingan empat penjuru di PRK Rantau

SEREMBAN, 30 MAC: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang bermula hari ini menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Barisan Nasional (BN) dan dua calon bebas.

Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Rembau, Dr S. Streram yang dipertaruhkan untuk mewakili PAKATAN akan dicabar Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang mewakili BN dan dua lagi calon bebas.

Calon bebas berkenaan ialah R. Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.

Terdahulu, pusat penamaan calon di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan, di sini dibuka pada 9 pagi dan proses mengemukakan borang pencalonan berjalan selama satu jam.

Mohamad adalah calon pertama menyerahkan borang pencalonan pada 9.05 pagi, diikuti Malarvizhi (9.07 pagi) manakala Mohd Nor dan Streram pada 9.08 pagi.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi DUN itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), terbatal dan tidak sah.

Dalam PRU14, Mohamad, diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi itu selepas Dr Streram, calon PAKATAN dilarang memasuki pusat penamaan calon untuk menyerahkan borang pencalonannya kerana tertinggal pas yang dikeluarkan SPR.

SEREMBAN, 30 Mac — Pengerusi Majlis Penasihat PKR yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kanan) bersama calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram (tengah) pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau di Pusat Penamaan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Bandar Seri Sendayan, hari ini.
Turut hadir Ketua Umum PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri).
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Hari mengundi ialah pada 13 April dan pengundian awal akan diadakan pada 9 April ini.

Kawasan DUN Rantau mempunyai 29,926 pengundi berdaftar, terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan empat pengundi tidak hadir.

Daripada sejumlah itu, 11,283 pengundi atau 55.11 peratus adalah Melayu, 3,849 atau 18.80 peratus Cina, 5,336 atau 26.06 peratus India dan empat atau 0.02 peratus lain-lain bangsa.

Pengundi yang berusia antara 40 dan 59 tahun adalah seramai 8,538 orang atau 40.37 peratus, mereka yang berusia antara 21 dan 39, seramai 7,589 atau 36.26 peratus, dan yang berusia 60 dan lebih, seramai 4,799 atau 22.94 peratus.

Rantau adalah satu daripada 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan.


Pengarang :