BERITA UTAMANASIONAL

PRK Rantau: Akui cabaran besar, namun tetap positif

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 11 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) yakin memiliki peluang merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang dimenangi tanpa bertanding oleh Barisan Nasional (BN), pada pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan PAKATAN akan berhadapan perlawanan sengit daripada penyandang kerusi terbabit, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau ini penting kerana kita berhadapan dengan pemangku Presiden Umno yang sudah tentu bukan suatu yang mudah.

“Selain itu, beliau juga merupakan menteri besar selama tiga penggal,” katanya pada sidang media pengumuman calon PAKATAN di Ibu Pejabat KEADILAN di sini, hari ini.

Beliau turut menjangkakan PAKATAN bakal berdepan kempen berbaur perkauman yang dimainkan BN.

Ketika mengulas persediaan PRK terbabit, Anwar berkata, PAKATAN bersetuju melantik Pengerusi PAKATAN Negeri Sembilan merangkap Menteri Besar, Aminuddin Harun, sebagai Pengarah Pilihan Raya bagi PRK kali ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Mohamad menang tanpa bertanding selepas calon PAKATAN, Dr Steram Sinnasamy tidak dibenarkan memasuki dewan pencalonan kerana tidak membawa pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagaimanapun, pada 18 Febuari lalu, Mahkamah Persekutuan membatalkan kemenangan Mohamad, sekali gus menyebabkan SPR mengumumkan PRK akan diadakan di kerusi itu.


Pengarang :