SELANGOR

Semua pihak sedar kewujudan Smart Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SABAK BERNAM, 17 MAC: Konsep kepentingan strategi dan bandar raya pintar yang ditonjolkan melalui insiatif Smart Selangor kini semakin disedari Pihak Berkuasa Tempatan, pentadbiran daerah dan agensi kerajaan lain.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, pihak berkenaan turut memahami bahawa ia perlu dibangun berteraskan keperluan dan kehendak rakyat, bukan hanya solusi pintar.

Katanya, hal itu penting supaya dapat mengadaptasinya dalam kaedah penyelesaian masalah dan tadbir urus negeri khususnya kepada penggunaan peralatan serta sistem aplikasi.

“Menjadi pintar bukan hanya berpandukan keperluan untuk menjadikan semuanya berbentuk digital.

“Pada mulanya, ramai pihak hanya melihat teknologi pintar sebagai alatan untuk mempermudahkan urusan kerja, tetapi kini ramai mula sedar ia juga membabitkan keputusan, solusi dan penyampaian perkhidmatan, sama ada dengan teknologi moden mahupun tidak supaya kehidupan rakyat menjadi lebih sistematik serta berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Karvival Jelajah 360 Smart Selangor, di Stadium Sabak Bernam, di sini.

Pada masa sama, Loy Sian mencadangkan pendekatan Jelajah 360 Smart Selangor perlu diperkembangkan lagi kepada semua rakyat.

Katanya, melalui program seperti itu, bukan sahaja hebahan dapat dilakukan kepada setiap pelusuk rakyat, tetapi mereka sendiri dapat mengalami serta mendapat maklumat secara terus daripada Kerajaan Negeri.

“Sambutan yang menggalakkan sepanjang penganjuran Karnival Jelajah 360 ini membuktikan bahawa rakyat Selangor bersedia bersama dengan Kerajaan Negeri untuk mencapai matlamat negeri pintar,” katanya.


Pengarang :