NASIONAL

Tiada masalah ditengking, kakitangan bela COO Felcra

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 6 MAC: Kakitangan Felcra Berhad (Felcra) mempertahankan tindakan Ketua Pegawai Operasinya (COO), berkenaan satu klip video yang tular di laman sosial, semalam yang memaparkan beliau menengking seorang wanita.

Kejadian itu berlaku dalam sesi latihan di sebuah ladang, sempena Siri Kembara di Felcra Berhad Projek Kampung Serambi, Pekan, Pahang, pada 2 Mac lalu.

Melalui klip video berdurasi 1 minit 21 saat, wanita yang ditengking itu memberi penjelasan bahawa tengkingan adalah perkara biasa bagi pekerja ladang.

“Sebenarnya semasa lawatan, dia jumpa buah muda lebih daripada buah yang masak. Itu menjadi salah satu isu dalam keadaan sekarang, apabila buah muda lebih banyak daripada masak, itu merupakan kerugian.

“Itu sahaja sebenarnya. Bagi orang ladang, cara pengajaran itulah yang sepatutnya, bagi orang luar yang tidak faham akan cakap macam-macam kerana mereka tiada di situ.

“Bagi kami, sebagai perempuan yang bekerja ladang, tidak mempunyai masalah pun kena tengking,” katanya.

Pada masa sama, melalui Facebook rasmi Felcra, terdapat penjelasan daripada tiga kakitangan Felcra menjelaskan bahawa mereka tidak terasa hati dengan tindakan COO itu.

“Kami amat bangga apabila COO turun padang untuk bersama dengan kakitangan Felcra memberi ilmu dan jauh sekali untuk terasa hati kerana beliau mendidik kami untuk lebih berjaya, pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, dalam video sama, salah seorang kakitangan mengakui ia adalah pembelajaran biasa dalam ladang.

“Memang nampak agak tegas tetapi itu hanya untuk mendidik pekerja supaya lebih efisien bekerja dalam ladang,” katanya.

Pada masa sama, salah seorang wakil penguatkuasaan Felcra mengucapkan terima kasih kepada COO kerana sudi turun padang.

“Bagi saya video itu tidak sepatutnya tular kerana banyak lagi sisi kebaikan COO kami buat tidak diuar-uarkan. Bagaimanapun, saya ucapkan terima kasih atas tunjuk ajar beliau kepada kami semua,” katanya.

Pengakuan itu sekali gus mampu menepis kenyataan salah seorang pengguna Twitter @ladydarshankaur yang mengutuk keras tindakan COO terbabit.

“Akhlak seorang pemimpin yang baru empat bulan dilantik menjadi Chief Operating Officer/Executive Officer Felcra Berhad. Inilah kualiti pemimpin lantikan Kerajaan Pakatan Harapan. Nilaikan sendiri,” tulisnya di Twitter.

https://twitter.com/i/status/1102952212886478848


Pengarang :