PBTSELANGOR

10,000 langkah galak masyarakat hidup sihat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 6 APRIL: Acara berjalan kaki 10,000 langkah yang menjadi aktiviti utama sempena Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women) menjadi titik permulaan kepada masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, aktiviti yang bermula seawal 8 pagi tadi dijalankan di sekitar One Way Loop, di sini, membabitkan penyertaan lebih 500 peserta.

“Berjalan 10,000 langkah bersamaan 6.5 kilometer membakar 350 kalori, manakala berjalan satu kilometer bersamaan 1,200 langkah.

“Secara puratanya, seminit bersamaan 100 langkah dan berjalan 10,000 langkah sehari secara berterusan akan mengurangkan 64 gram. Untuk membakar nilai kalori untuk sekeping roti canai biasa kita perlu berjalan selama 60 minit tanpa henti sejauh 4.8 kilometer,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Program Karnival 3W Peringkat MBPJ, di Dataran Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Terdahulu, pelancaran program yang mengangkat tema Hari Autisme dan Hari Tibi Sedunia itu disempurnakan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Pada masa sama, Sayuthi berkata, inisiatif seumpama itu secara langsung dapat memberi kesedaran kepada semua pihak bahawa kesihatan adalah hak dan tanggungjawab bersama.

Katanya, selain menyahut seruan Kerajaan Negeri untuk memupuk amalan hidup sihat dalam kalangan masyarakat, Karnival 3W menjadi wadah penting pihaknya selaras mencapai objektif piagam pelanggan, khususnya menjamin kebersihan persekitaran dan kesihatan awam.

“Malah, ia dapat meningkatkan pengetahuan dan informasi terkini berkenaan aspek kesihatan awam termasuk isu terkini kesihatan seperti wabak demam denggi, penyakit bawaan air serta makanan juga penyakit tidak berjangkit.

“Ini sekali gus menyumbang kepada persekitaran yang bersih, sihat, produktif dan kondusif,” katanya.

Bertindak selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) ketiga di Selangor yang menganjurkan karnival itu, pelbagai pengisian program menarik lain diadakan misalnya pameran, forum, pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma.

Selain itu, antara lain diadakan adalah senamrobik atau senam tari, ‘Fun Ride’, Mini Zoo, Soopa Dupa, ‘Face Painting’, wayang pacak dan ‘buskers’.


Pengarang :