SUKANKINI

Avisena rakan perubatan strategik baharu FAS

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 30 APR: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menandatangani perjanjian bersama Hospital Pakar Avisena bagi mewujudkan kerjasama penjagaan kesihatan pemain dan warga kerja FAS, pada 28 April lalu.

Perjanjian itu ditandatangani Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Avisena Holdings Sdn Bhd, Datuk Dr Omar Abdul Hamid disaksikan DYTM Raja Muda Selangor merangkap Presiden FAS, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

FAS menerusi kenyataan berkata, Hospital Pakar Avisena bakal menyediakan keperluan rawatan perubatan seperti proses pemulihan pemain yang mengalami kecederaan dan membiayai sebahagian kos rawatan serta perubatan.

“Kami berterima kasih atas kerjasama strategik ini dan berharap ia akan terus menyemarakkan semangat pemain Red Giants untuk memberikan persembahan terbaik.

“Pada masa sama, ia membuktikan bahawa usaha transformasi pengurusan FAS dibawah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, mendapat keyakinan sektor swasta untuk bekerjasama dengan FAS,” katanya.

Pada masa sama, hospital terbabit turut memberi promosi istimewa dari semasa ke semasa bagi pemegang kad ahli Red Giants.

Kerjasama itu bakal menyaksikan jenama Avisena di platform komunikasi digital dan pengiklanan di Stadium Shah Alam bagi perlawanan membabitkan pasukan Selangor.


Pengarang :