SELANGOR

Bayar cukai tanah, menangi cabutan bertuah

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 12 APR: Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat menganjurkan Cabutan Bertuah Cukai Tanah 2019 ‘Jom Bayar dan Menang’.

Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim berkata, ia adalah inisiatif baharu pihaknya bagi menggalakkan pemilik tanah membayar cukai itu.

Katanya, cabutan bertuah itu sudah bermula sejak 1 Januari lalu hingga 31 Mei ini.

“Ia antara inisiatif kami untuk menggalakkan pemilik tanah tidak mengelak daripada membayar cukai ini.

“Kita bukakan cabutan bertuah kepada semua pemilik tanah berdaftar hak milik mukim dan hak milik pendaftar dalam daerah Kuala Langat sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor bersempena Jelajah Maju Bersama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di Kuala Langat, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, antara hadiah cabutan bertuah itu orang ramai berpeluang memiliki motosikal, basikal, peti ais, televisyen dan tablet.

Oleh itu, beliau berkata, orang ramai terutama berada di sekitar Kuala Langat digalakkan untuk membayar cukai tanah itu secepat yang mungkin.

Untuk maklumat lanjut boleh melayari website www.selangor.gov.my/kualalangat.php atau hubungi 03-31822441 / 2440 / 2430.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :