Boeing akui kedua-dua nahas pesawat 737 Max babitkan MCAS | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Boeing akui kedua-dua nahas pesawat 737 Max babitkan MCAS

KUALA LUMPUR, 5 APR: Boeing mengakui bahawa kedua-dua nahas membabitkan pesawat 737 MAX yang menyebabkan sejumlah 346 orang terkorban dalam tempoh lima bulan, mempunyai masalah dengan Sistem Penambahan Ciri-Ciri Manuver dikenali sebagai MCAS, yang diaktifkan sebagai respons kepada sudut maklumat serangan yang salah.

“Butiran penuh mengenai apa yang berlaku dalam dua nahas itu akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa kerajaan dalam laporan akhir, tetapi, dengan laporan awal siasatan nahas Ethiopian Airlines penerbangan ET302 yang dikeluarkan, jelas bahawa MCAS dalam kedua-dua penerbangan itu, diaktifkan sebagai respons kepada sudut maklumat serangan yang salah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Dennis Muilenburg dalam kenyataan.

Sejarah industri menunjukkan kebanyakan nahas disebabkan oleh rangkaian peristiwa.


“Ini sekali lagi berlaku di sini, dan kita tahu kita dapat merungkaikan satu daripada hubungan rangkaian itu dalam dua nahas tersebut. Sepertimana dimaklumkan oleh juruterbang kepada kami, pengaktifan fungsi MCAS yang salah boleh menambah kepada persekitaran beban kerja yang sedia tinggi. Menjadi tanggungjawab kami untuk menghapuskan risiko ini. Kami memilikinya dan kami tahu bagaimana untuk melakukannya,” katanya.

Pada 10 Mac 2019, pesawat Ethiopian Airlines penerbangan ET302 terhempas selepas enam minit berlepas dari Addis Ababa yang mengorbankan 157 orang di dalam pesawat tersebut.

Pada Oktober 2018, Lion Air penerbangan JT610 milik Indonesia terhempas ke laut beberapa minit selepas berlepas, menyebabkan 189 orang di dalam pesawat tersebut terkorban.

Laporan awal yang dikeluarkan semalam menolak kesilapan juruterbang dalam nahas Ethiopian Airlines. Laporan menyatakan juruterbang telah berulang kali mematuhi prosedur yang disarankan oleh Boeing tetapi tidak berjaya.

Dennis berkata, selepas nahas Lion Air, Boeing mengumpulkan jurutera-jurutera utama dan pakar-pakar teknikalnya yang bekerja tanpa henti dengan kerjasama Pentadbiran Penerbangan Persekutuan dan pelanggan kami untuk memuktamadkan dan melaksanakan kemas kini perisian yang akan memastikan nahas seperti Lion Air penerbangan JT610 dan Ethiopian Airlines penerbangan ET302 tidak berlaku lagi.

“Kami mengambil pendekatan yang menyeluruh, berdisiplin dan memerlukan masa untuk mendapatkan kemas kini perisian yang tepat. Kami hampir selesai dan menjangka pensijilan dan pelaksanaannya ke atas kumpulan pesawat 737 MAX di seluruh dunia pada minggu-minggu akan datang. Kami menyesali impak ke atas pelanggan syarikat penerbangan kami dan penumpang mereka,” katanya.

Dennis, yang juga Pengerusi dan Presiden Boeing berkata, dengan kemas kini tersebut, serta latihan yang berkaitan dan bahan pendidikan tambahan yang dikehendaki oleh juruterbang selepas nahas tersebut, akan menghapuskan kemungkinan pengaktifan MCAS yang tidak diingini dan menghalang nahas yang berkaitan MCAS daripada berlaku lagi.

“Kami di Boeing mengambil tanggungjawab membina dan menyerahkan pesawat kepada pelanggan syarikat penerbangan kami dan kepada orang ramai selamat untuk melakukan perjalanan dan selamat dikendalikan oleh setiap juruterbang profesional di seluruh dunia. Ini yang kami lakukan di Boeing,” katanya.

Beliau berkata, Boeing terus yakin dengan keselamatan asas pesawat 737 MAX.

“Semua yang berada di dalamnya—penumpang, kru penerbangan dan juruterbang, termasuk keluarga kita sendiri dan rakan-rakan—berhak mendapat yang terbaik. Apabila MAX kembali melakukan penerbangan dengan perubahan perisian kepada fungsi MCAS, ia akan menjadi antara pesawat paling selamat,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next