RENCANA

Transformasi FELDA beri harapan baharu kepada peneroka

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Seramai 112, 634 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di 317 tanah rancangan seluruh negara pastinya menarik nafas lega selepas Kertas Putih Ke Arah Kelestarian FELDA dibentangkan di Parlimen hari ini.

Kertas putih itu, yang dibentangkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menyenaraikan inti pati penting bagi menyuntik tenaga baharu dan mengoptimumkan potensi melalui pelan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk mengembalikan kegemilangan FELDA.

Felda menghadapi masalah kewangan yang buruk dengan kekangan aliran tunai sehingga menyebabkan ia tidak mampu menampung perbelanjaan operasi, kos penanaman semula dan memberi bantuan pinjaman kepada peneroka.

Hutang FELDA meningkat dengan ketara sebanyak 1,100 peratus daripda 1.2 bilion pada 2007 kepada RM14.4 bilion pada 2017 manakala baki hutang peneroka pula mencecah RM7.7 bilion pada 2018.

TEPAT PADA MASANYA

Kewangan yang tidak stabil itu ternyata meresahkan peneroka, yang terpaksa berdepan kepudaran zaman kegemilangan Felda disebabkan masalah pentadbiran dan pengurusan.

Dan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengambil langkah tepat pada masanya dengan memperkenalkan pelan transformasi bagi memacu kembali FELDA.

“Pembetangan Kertas Putih itu umpama memberi nafas baharu kepada peneroka dan warga FELDA keseluruhannya,” kata Timbalan Ketua Peneroka Kebangsaan Karip Mohd Salleh.

Beliau berkata, pihaknya amat mengalu-alukan peruntukan geran sebanyak RM6 bilion daripada kerajaan untuk membantu FELDA dalam menyelesaikan masalah ketika ini terutama isu Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil peneroka.

“Sudah tentu kami menyambut baik transformasi yang dicadangkan ini dengan gembira terutama bagi membantu peneroka. Segala keresahan yang kami suarakan sebelum ini diberi perhatian oleh kerajaan,” katanya.

Semasa membentangkan Kertas Putih itu, Mohamed Azmin berkata, kerajaan meluluskan RM480 juta untuk tujuan pembiayaan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil kepada peneroka serta menghapuskan hutang tidak wajar.

Kerajaan juga memperuntukkan RM2 bilion bagi menghapuskan faedah yang dikenakan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil yang menjadi beban kepada peneroka.

Karip berkata langkah kerajaan untuk menyiapkan segera projek Perumahan Generasi Baharu FELDA yang terbengkalai sebelum ini sememangnya amat dinanti-nantikan oleh generasi kedua Felda.

“Dalam hal ini, kita minta kerajaan supaya memberi keutamaan kepada anak-anak peneroka yang tinggal di tanah rancangan. Mereka yang membantu dan memajukan kebun ibu bapa mereka,” katanya.

Sebanyak 4,794 keluarga generasi baharu akan menerima manfaat itu apabila kerajaan meluluskan sebanyak RM250 juta tahun ini untuk menyiapkan projek perumahan itu, yang sudah 70 peratus dibina.

JUAL ASET DALAM, LUAR NEGARA

Sementara itu, Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) pula berpendapat usaha kerajaan memulihkan FELDA dengan menjual aset di dalam dan luar negara adalah antara pilihan yang terpaksa dilakukan bagi membaik pulih FELDA.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, langkah itu diambil berdasarkan sebagai keperluan semasa bagi memenuhi komitmen sedia ada bagi pembangunan peneroka dan Felda pada keseluruhannya.

“Ia jauh lebih baik daripada membuat pinjaman baharu yang akan meningkatkan jumlah hutang yang kini mencecah RM8.025 bilion,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap pelan pemulihan itu akan meneroka sepenuhnya segala potensi dan ruang yang dapat menjana pendapatan untuk lembaga itu.

Beliau berkata Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Pengurusan Tertinggi Felda, MPNF dan badan berkaitan FELDA mesti memandang serius dan mengorak langkah ke hadapan demi menjayakan pembaharuan itu.

“Pembangunan hasil bumi dan sumber galian seperti pasir, bijih besi bauksit dan kuari yang menjana pendapatan jutaan ringgit kepada Felda mestilah diteroka segara.

“Apapun, kami berharap kemelut dan situasi kewangan FELDA yang kritikal ini bukanlah ‘jalan mati’ atau pengakhiran hayat bagi FELDA,” katanya.

KAJI PELAKSANAAN KERTAS PUTIH

Pakar bidang ekonomi tanah dari Universiti Hussein Onn Malaysia Profesor Dr Ismail Omar pula berpendapat cadangan yang dikemuka dalam Kertas Putih itu perlu diperincikan dan dikaji secara profesional bagi menentukan kedayahidupan dan kebolehpasarannya.

Beliau berkata ahli profesional yang berpengalaman terutama dalam bidang ekonomi tanah, pertanian dan kejuruteraan pintar, teknologi tinggi dalam pertanian dan penternakan, biodisel dan sebagainya perlu digandingkan bersama dengan kerajaan untuk menghasilkan kreativiti dan inovasi berkaitan pertanian.

“Kesemua cadangan ini boleh dilakukan melalui pendidikan kepada generasi FELDA dan juga masyarakat penyelidik yang boleh diwujudkan secara perkongsian pintar antara Felda dan universiti.

“Sudah tentu ada universiti yang ingin mengambil Gugusan FELDA sebagai anak angkat bagi penyelidikan mereka. Suasana perkongsian pintar memerlukan kepimpinan yang berdaya maju dan boleh diteladani. Justeru, pemberdayaan dan pemerkasaan modal insan amat penting,” katanya.

Selain itu, Ismail berkata penyusunan semula dan pemurnian sistem skim pewarisan pusaka yang dicadangkan melalui Kertas Putih FELDA itu adalah tepat pada masanya.

Menurutnya skim pewarisan tanah FELDA bermasalah kerana ia tidak menggunakan sistem harta pusaka dan faraid seperti yang dituntut Islam.

“Sekalipun terdapat perubahan ke arah yang lebih baik, sistem pewarisan yang digunakan masih tidak mampu menangani masalah pusaka dan faraid sepenuhnya.

“ Keadaan ini menjadikan pewarisan harta apabila simati peneroka tidak dapat dijalankan dengan lancar dan membawa kepada persengketaan apabila tiada penyelesaian yang memuaskan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :