SELANGOR

DUN Permatang anjur KASURA’19, rapat jurang komuniti

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

TANJONG KARANG, 11 APR: Dalam usaha merapatkan jurang komuniti di bawah satu bumbung, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang bakal mengadakan Karnival Sukan Rakyat (KASURA’19), di Kampung Parit Serong, di sini, pada 19 hingga 21 April ini.

Program dengan kerjasama Majlis Perwakilan Ketua Kampung (MPKK) DUN Permatang, Penggerak Belia Tempatan (PeBT) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) itu dikelola sepenuhnya Persatuan Anak Muda Bersatu Tanjong Karang.

Ahli Dewan Negerinya, Rozana Zainal Abidin berkata, edisi ketujuh penganjuran itu antara lain bagi mempopularkan acara sukan rakyat supaya tidak dilupakan masyarakat, khususnya anak muda.

Katanya, selain menggabungkan golongan belia yang cenderung dengan kegiatan sukan, KASURA’19 adalah medan terbaik bagi menerapkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk setempat.

“Kita tidak mahu menyisihkan bakat anak muda dalam aktiviti sukan kerana di sini ruang dan peluang untuk mereka menunjukkan bakat, kemahiran dan kepakaran, selain menguji tahap kekuatan fizikal serta mental.

“Malah, program seumpama ini akan memastikan sukan rakyat dapat dihidupkan meskipun pada masa ini kita tinggal dalam suasana kehidupan serba moden.

“Saya optimis karnival ini juga mampu menjadi enjin penyatuan yang dapat memecah tembok pemisah antara masyarakat tempatan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, katanya, KASURA’19 dilihat berupaya mewujudkan daya saing dan semangat kesukanan dalam kalangan peserta terlibat.

“Sekurang-kurangnya kita mahu melihat hasil dan impak positif terhadap penganjuran itu, terutama dalam meningkatkan mutu sukan melalui bakat serta kemahiran dimiliki peserta,” katanya.

KASURA’19 yang mengetengahkan tema ‘Merakyatkan Sukan Untuk Kesihatan Dan Perpaduan’ terbuka kepada semua penduduk menetap, bekerja atau belajar di kawasan DUN Permatang.

Sebanyak 10 acara bakal dipertandingkan antaranya bola sepak, bola tampar dan bola jaring termasuk permainan sukan dalaman (indoor games) seperti futsal serta badminton, selain beberapa sukan tradisional.

Turut diadakan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan aktiviti kepada wanita melalui pusat wanita berdaya (PWB).

Difahamkan, setakat ini seramai 15 kontinjen sudah mengesahkan tempat bagi merebut trofi kejuaraan.


Pengarang :