Perkhidmatan ECRL menghubungkan negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan Lembah Klang.
NASIONAL

ECRL: China pulang sebahagian pendahuluan RM3.1 bilion

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 15 APR: Kerajaan China bersetuju memulangkan semula sebahagian daripada bayaran pendahuluan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) berjumlah RM3.1 bilion yang dibuat pentadbiran Datuk Seri Najib Razak kepada China Communications Constraction Ltd. (CCCC)

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia akan menerima bayaran pertama berjumlah RM500 juta dalam tempoh seminggu selepas perjanjian baru dimuktamadkan pada 12 April lalu.

“RM500 juta akan dikembalikan dalam masa seminggu dari 12 April dan RM500 juta lagi dalam masa sebulan dari 12 April, dengan jumlah RM1bilion.

“Baki akan diselesaikan dalam masa 3 bulan selepas beberapa potongan disahkan seperti tuntutan pembatalan kerja, penggantungan dan pembatalan Jajaran Utara,” katanya.

Mahathir berkata, perjanjian baru ECRL itu menelan belanja RM68.7 juta setiap kilometer berbanding RM95.5 juta setiap kilometer daripada perjanjian asal.

Katanya, jajaran baru dengan mengekalkan landasan berkembar itu akan melalui 20 stesen dari Kota Bahru ke Port Klang dengan tiga stesen pertukaran.

Jajaran membabitkan Selangor, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Kelantan itu dijangka menggalakkan pertumbuhan ekonomi sepanjang laluan ECRL.


Pengarang :