SELANGOR

Ekonomi digital sumber ekonomi baharu – MB

OLEH NORHAYATI UMOR

KOTA DAMANSARA, 23 APR: Selangor komited mempelbagaikan penerokaan sumber ekonomi baharu menerusi ekonomi digital, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya, ia termasuk ‘artificial intelligence’ (AI), blockchain, e-dagang, pengkomputeran awam, e-sukan, fintech dan revolusi perindustrian keempat.

“Bagaimanapun, kita sedar hakikatnya pertumbuhan atau pembangunan ekonomi baharu ini perlu memastikan ia tidak meminggirkan atau meninggalkan sesiapa sekali gus memastikan mereka tidak menjadi mangsa jurang digital.

“Oleh itu, salah satu usahanya adalah Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC) memainkan peranan utama dalam melengkapkan usahawan industri kecil dan sederhana memahirkan diri dengan pemasaran digital selain memaksimumkan skala serta potensi perniagaan dalam ekonomi digital,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah dan Penyampaian Anugerah Hab E-Dagang oleh Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC) kepada pemaju, Scland Group, di sini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, sektor awam dan swasta perlu bekerjasama dalam hal itu supaya dapat mewujudkan ekonomi yang tangkas dan mampu mengatasi kejutan luaran dengan menyediakan penyelesaian dalaman kepada keperluan ekonomi kita.

Katanya, gelombang e-wallet dan logistik serta penyampaian yang lebih baik menyaksikan pengurangan penggunaan wang tunai juga peningkatan pembayaran dalam talian.

“Inilah lonjakan kuantum Selangor yang mampu dan dengan inisiatif strategik yang diperlukan, saya yakin kami akan dapat melakukan peralihan ini,” katanya.

Tahun lalu, Selangor memperoleh RM10.837 bilion menerusi pelaburan langsung asing.

Jumlah itu meningkat 400.7 peratus berbanding pada 2017.

“Ini menunjukkan komitmen pentadbiran Selangor mengamalkan ketelusan, kecekapan dan kestabilan.

“Faktor utama ini, ditambah dengan pelbagai usaha mempelbagaikan dan memajukan lagi Selangor sebagai destinasi pelaburan yang berdaya maju di rantau ini berkesan,” katanya.

 

 


Pengarang :