BERITA UTAMASELANGOR

Selangor bangga jadi hab e-dagang pertama di Malaysia

OLEH NORHAYATI UMOR

KOTA DAMANSARA, 23 APR: Kerajaan Selangor menyambut baik usaha sektor swasta membangunkan pusat sehenti e-dagang (EM Hab) pertama di Malaysia di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, projek itu dapat menyediakan landasan asas yang kukuh kepada Selangor untuk menjadi ‘regional player’ di Asia Tenggara selaras pembangunan negeri pintar menjelang 2035.

“Pusat sehenti EM Hab itu dijangka siap pada 2022 sekali gus menjadikannya sebagai pusat perdagangan atas talian pertama dibangunkan di Selangor.

“Kerajaan Negeri berbesar hati kerana memilih Selangor sebagai lokasi projek pertama mereka membangunkan hab e-dagang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah dan Penyampaian Anugerah Hab E-Dagang oleh Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC) kepada pemaju, Scland Group, di sini.

Amirudin berkata, pembangunan pusat sehenti e-dagang itu memberi peluang usahawan atas talian memiliki gudang, bilik pameran dan pejabat di bawah satu bumbung semasa menjalankan perniagaan.

Katanya, perusahaan tradisional juga boleh mengambil peluang dengan memanfaatkan hab berkenaan dengan menyertai ekosistem perdagangan rentas sempadan itu.

“Dengan syarat mereka ini diberi bantuan dan arahan diperlukan untuk membuat peralihan ke dalam perniagaan digital.

“Dua minggu lalu, sebelum bermula lawatan Jelajah Maju Bersama di Kuala Langat, saya bersarapan di warung Roti Canai Terowong atas syor rakan-rakan.

“Syor itu tepat, kita mesti dan perlu ke warung itu untuk bersarapan. Sepanjang itu, saya berfikir mengapa tidak semua orang Selangor mencuba roti canai ini kerana ia sangat sedap.

“Justeru, dalam era revolusi digital masa kini, kita tidak lagi mencari makanan, tetapi makanan datang kepada kita hanya dengan menekan butang atau aplikasi mudah alih,” katanya.

Sehubungan itu, Amirudin berkata, beliau melihat fasa ke dua pentadbiran Pakatan Harapan beralih kepada dorongan mempelbagaikan ekonomi dan meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.

“Fasa pertama, kita menyaksikan penyusunan semula dan membaiki kesilapan pentadbiran lalu sambil meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Oleh itu, sepanjang 10 tahun menyaksikan pelbagai inisiatif peningkatan sosial melalui Inisiatif Peduli Rakyat yang kini terkenal, dari bantuan pendidikan dan kebajikan, kepada pemeriksaan kesihatan dan pinjaman perniagaan mikro,” katanya.

 


Pengarang :