NASIONALPBT

Garis panduan baharu basmi Aedes bakal dibentang ke Kabinet

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 13 APR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bakal memperkenalkan satu garis panduan baharu di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengatasi wabak denggi.

Pengarah Bahagian Perunding Kesihatan Persekitaran Jabatan KPKT, Ooi Poh Keong berkata, garis panduan itu akan dibentangkan ke peringkat Kabinet dalam masa terdekat.

Katanya, garis panduan digubal itu nanti dikhususkan kepada PBT sebagai panduan untuk mereka melakukan kerja mengawal pembiakan nyamuk daripada terus berleluasa sekali gus mampu mengurangkan wabak denggi.

“Kertas kerja berkenaan garis panduan itu sudah selesai dan kita masih menunggu untuk dibawa ke dalam Dewan Rakyat.

“Dalam garis panduan ini, ia turut membabitkan pelan tindakan gotong-royong, semburan nyamuk selain strategi kerjasama bersama komuniti turut ditekankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Gotong Royong Perdana Basmi Denggi anjuran KPKT dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Pangsapuri Rimau Perdana, Seksyen 32, di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau dan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan.

Sementara itu, Ganabatirau yang juga Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning turut menekankan bahawa semua pihak perlu memainkan peranan penting dalam membasmi wabak denggi daripada terus menular.

Katanya, orang ramai perlu mempunyai kesedaran bahawa pentingnya menjaga kebersihan kawasan persekitaran.

“Masyarakat tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab membasmi denggi kepada pihak berkuasa sahaja sebaliknya diri sendiri juga perlu mempunyai kesedaran,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)


Pengarang :