TANAH MERAH, 27 April — Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyampaikan sumbangan dari Yayasan Taqwa kepada Pengerusi pondok Tahfiz Padang Bongor Mohd Rusydi Abdul Malek (empat belakang kanan) pada Majlis Dialog & Jamuan Rakyat di Pondok Tahfiz Padang Bongor hari ini. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Institusi pondok perlu diperkasa – Mujahid

TANAH MERAH, 27 APR: Institusi pondok di negara ini perlu dibangunkan dengan nilai tambah kepada pelajar terutamanya dalam bidang kemahiran dan tidak hanya tertumpu kepada bidang agama bagi kelangsungan pelajar lepasan institusi terbabit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, sehubungan itu pihaknya mengadakan perbincangan bagi memastikan institusi pondok dibangunkan setanding dengan keperluan dan kehendak semasa.

“Perkara itu perlu bagi menyelaraskan bidang pengajaran supaya bekas pelajar pondok turut mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan.

“Kita mahu pelajar pondok juga mempunyai sijil atau kelayakan kemahiran untuk memenuhi pasaran pekerjaan bagi kehidupan masa depan mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pondok dan Jamuan Rakyat di Pondok Tahfiz Padang Bongor di sini, hari ini.

Pada majlIs itu beliau turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada pengurusan Pondok Tahfiz terbabit bagi program pembangunannya dalam memenuhi keperluan semasa.

Mujahid berkata, pihaknya mengalu-alukan mana-mana sekolah pondok untuk selaraskan bidang pengajian dengan kemahiran tertentu.

“Kita masih dalam peringkat perbincangan dan kita harap kerajaan negeri dapat beri kerjasama bagi membangunkan sekolah pondok supaya setanding dengan institusi sekolah tahfiz yang menjurus kepada bidang sains, kemahiran, dan agro.

“Sekarang ini institusi tahfiz telah mempunyai Majlis Tahfiz Negara dalam pentadbiran dan pengurusan.

“Kita mahu tingkatkan hubungan dengan pondok ke arah membangunkan institusi pondok sekaligus menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :