SELANGOR

Jadi ‘mata dan telinga’ kekang jenayah alam sekitar

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 APRIL: Orang awam disaran menjadi mata dan telinga kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) jika mempunyai maklumat berhubung jenayah alam sekitar di kawasan masing-masing.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor, Shafe’ee Yasin berkata, kes di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang dan Sungai Semenyih, baru-baru ini harus dijadikan contoh berhubung keperluan kerjasama masyarakat setempat untuk menyalurkan maklumat.

“Begitu juga kejadian pembakaran terbuka dan pencemaran kilang yang melepaskan bahan buangan ke dalam sungai berhampiran sedangkan sungai adalah nadi kehidupan dengan pelbagai spesies di dalamnya.

“Justeru, tidak wajar kita membiarkan sebarang salah laku yang akan memusnahkan ekosistem sungai kita,” katanya pada Sambutan Hari Bumi 2019 bertemakan ‘Protect Our Species’ di Kalumpang, baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui.

Katanya, alam semula jadi adalah sumber kesinambungan kehidupan, namun semakin terancam ekoran kemusnahan dan pencemaran.

“Oleh itu, kita harus berganding bahu untuk memastikan masyarakat lebih peka kepada ancaman pencemaran dan sentiasa mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Pada masa sama, Shafe’ee berkata, Selangor mempunyai haiwan yang sentiasa dalam perhatian kerajaan Negeri antaranya tapir dan kelip-kelip.

Katanya, spesies itu bukan sahaja penting dalam melengkapkan ekosistem sedia ada, namun ia juga sebagai tarikan pelancongan yang boleh meningkatkan kepada ekonomi negeri.

“Program Hari Bumi ini bertujuan menanam kesedaran dalam kalangan masyarakat terdiri daripada pelajar sekolah, kolej dan komuniti setempat terhadap pemeliharaan alam sekitar.

“Selain itu, kita juga menerapkan kesedaran dengan isu alam sekitar seperti budaya kitar semula, penipisan lapisan ozon, peningkatan suhu tempatan, banjir kilat, perlindungan spesies flora dan fauna seiring pendidikan sosial untuk pembangunan lestari,” katanya.


Pengarang :