NASIONAL

Kereta terjunam ke Sungai Gombak

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Gombak berdekatan Bank Negara di Jalan Kuching, di sini hari ini.

Dalam kejadian 6 pagi itu, lelaki terbabit yang dalam perjalanan dari Sri Sina Segambut untuk bertemu rakannya hanya mengalami cedera ringan di tangan kiri dan belakang badan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Supt Sarifudin Mohd Salleh berkata, kenderaan yang dipandu lelaki terbabit hilang kawalan lalu melanggar bahagian kiri jalan dan terjunam ke dalam sungai itu.

“Dia bagaimanapun berjaya keluar dari kenderaan dan berenang untuk menyelamatkan diri. Kereta Honda City lelaki itu ditarik keluar oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kejadian yang berlaku pada waktu puncak awal pagi itu menyebabkan kesesakan jalan raya yang teruk di sepanjang Jalan Kuching. -BERNAMA


Pengarang :