SASTERA

Mata Ketiga Encik Rahman

Oleh Abdullah Hussaini Mohd Ghazali

SEMUA staf di syarikat itu sentiasa dalam kerajinan dan kesungguhan kerana mereka tahu majikan mereka iaitu Encik Rahman memiliki mata ketiga yang boleh memandang tembus dinding-dinding dan kubikel pejabat hatta setebal peti besi keselamatan emas milik Rostchild sekalipun.

Cerita ini bukan sekadar gosip liar yang berlegar tanpa tujuan. Seorang pekerja bernama Aizen adalah contoh klasik kepada kegagalan seorang staf yang cuba culas dan terkantoi oleh bosnya. Ia berlaku ketika matahari sedang memanjat langit di luar bangunan dan penyaman udara pejabat seperti salju di Ittaweon yang membuatkan Aizen terketar-ketar cuba menahan kantuk dan melawan keinginan untuk merokok setelah sejak pagi dia belum menjamah sebarang puntung manis kereteknya. Lalu, Aizen yang menyangka Encik Rahman, yang ketika itu baru hari pertama masuk sebagai bos baru yang pada anggapannya pastilah tidak begitu peka dan kalaupun dia garang sekurang-kurangnya pada fasa awal ia sebagai bos, masih punya timbang rasa – jika dia tertangkap cuba keluar pejabat.

Aizen baru sahaja melangkah melepasi pintu pejabat dan dari kesenyapan pejabat itu yang hening dia terdengar dehem-dehem yang agak kuat. Dia tidak peduli dan meneruskan langkah. Keinginannya terlalu memuncak sehinggakan jari manisnya kelihatan seperti sebatang rokok Nusantara. Lalu ia keluar terus, menuju ke port lepaknya yang biasa – yang dia yakin Encik Rahman tidak tahu.

Dia menghisap rokok sepuas-puasnya, mencuci wajah di tandas, mengunyah gula-gula getah dan dengan keyakinan tanpa risau ia masuk ke pejabat dan tatkala melangkah menuju ke kubikelnya, Nuraina Ngadina (nama panggilannya Dina) seorang setiausaha yang jelita beranting-anting besar pada cuping telinganya, memberitahunya bahawa Encik Rahman ingin berjumpanya di pejabat.

Aizen dapat berasakan yang Encik Rahman mengetahui dia keluar tetapi dia boleh beralasan yang dia cuma ke tandas atau ada urusan di tingkat lain. Tercengang Aizen bila Encik Rahman menyebut dengan terperinci tentang apa yang dia lakukan, malah jenama gula-gula getahnya, Wrigley’s. Untuk kesalahan itu Encik Rahman telah memberi amaran keras dan akan mencatatkannya di dalam fail laporan prestasi pekerja yang membuatkan Aizen terus insaf daripada melakukan kerja-kerja hina sebegitu.

Adrian Lowel adalah staf kedua yang kantoi oleh Encik Rahman apabila beliau membawa sepuluh ketul karipap pusing ke meja kerjanya, menyorokkan bungkusan plastik di bawah laci meja komputer dan sambil menaip beliau makan satu persatu sampai habis. Sebelum waktu rehat dia dipanggil Encik Rahman, yang mengetahui semua kelakuannya, bahawa Adrian Lowel telah tertumpahkan teh halia di lantai berhampiran mejanya dan pada suatu-suatu masa Adrian Lowel tidak membawa tisu, dia selsema lalu menyelek kahaknya (bagi mengelakkan ia bergumal di dalam mulut atau berulang-alik ke tandas) pada bawah mejanya.

Adrain Lowel kebingungan. Bagaimana Encik Rahman boleh mengetahuinya dengan jelas. Sewaku rehat, Adrian Lowel yang tidak dibenarkan keluar telah menahan Aizen dan memberitahu tentang ilmu laduni Encik Rahman. Mereka berdua tidak dapat menerima akan kepengetahuan Encik Rahman itu, yang terlalu teliti. Apakah perkara yang bisa menjelaskan ini semua?

Mereka cuba berfikir. Dan akhirnya mereka mendapati ada satu kejanggalan pada Encik Rahman iaitu ia suka memakai songkok yang terpesuk ke dalam, menutupi dahinya. Memang benar, sejak hari pertama masuk ke pejabat itu lagi Encik Rahman tidak pernah menanggalkan songkoknya yang dipakai sehingga menutupi dahinya. Kalau tidak songkok, ia memakai kopiah dan ketika waktu pulang, Aizen selalu mengesyaki yang songkok Encik Rahman akan terkendap dengan bau peluh dan mengakibatkan ketidakselesaan pada Encik Rahman yang berkemungkinan membuatkannya mencabut songkok itu. Tetapi tidak berlaku. Sebaliknya Encik Rahman menggantikannya dengan topi penuh yang juga melindungi dahinya.

Dakwaan ini diperkuatkan lagi oleh cerita orang lain seperti Maimun Jaharah yang terkantoi mengumpat Encik Rahman dengan Rozilia Daud. Atau Joceline Tan yang diketahui kerap bermain judi dalam talian, turut diketahui oleh Encik Rahman. Lama-kelamaan semua staf mula bekerja dengan baik. Tidak ada lagi yang culas atau memonteng. Mereka bekerja dengan bersungguh-sungguh kerana mereka tahu jika ada sebarang kesilapan yang mereka lakukan Encik Rahman pasti akan mengetahuinya.

Setelah beberapa tahun menabur bakti di bahagian itu Encik Rahman dinaikkan pangkat. Sewaktu majlis perpisahannya semua staf tidak dapat menahan diri daripada persoalan itu. Iaitu benarkah Encik Rahman memiliki mata ketiga di dahinya. Encik Rahman ketawa dan menafikannya. Namun semua staf kelihatan serius dan membuatkan Encik Rahman menghela nafas dan perlahan-lahan – sambil disaksikan dengan penuh debar oleh semua staf – menanggalkan songkoknya.

Ada yang menggeleng dan ada yang tercengang. Tenyata dahi Encik Rahman biasa sahaja dan tiada apa yang pelik. Ia rata malah ada kesan lebam seperti orang yang kuat bersembahyang.

“Tapi bagaimana selama ini encik boleh tahu semuanya?” Tanya Aizen. Yang lain angguk sama mengiakan. Encik Rahman dengan tenang dan riak wajah yang tak terkesan menjawab, “Aku melihat dengan mata hatiku.”

Namun perihal itu akan dilupakan oleh staf itu, baik Aizen, baik Adrian Lowel, baik Rozilia Daud, baik Maimun Jaharah, baik Joceline Tan atau Nuraina Ngadina kerana kepercayan dan persoalan mereka selama ini cumalah satu ketidakwujudan yang mengecewakan. Tapi saya tahu itu semua tidak benar. Sebelum majlis perpisahan itu bermula Encik Rahman sudah mengesan perkara seperti ini akan berlaku lalu menyorokkan saya ke dalam hatinya, untuk sementara.


Pengarang :