BERITA UTAMASELANGOR

MB rasmi Dewan Dato’ Penggawa Permatang Daerah Kuala Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA SELANGOR, 26 APRIL: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, berbesar hati menyempurnakan perasmian Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, di sini.

Dewan baharu itu dijadikan lokasi Perhimpunan Pagi Bersama Penjawat Awam Daerah Kuala Selangor bersempena Program Jelajah Maju Bersama 2019, hari ini.

Menelan kos sebanyak RM3.917 juta, dewan itu diserahkan secara rasmi pada 24 April lalu dan dinamakan sebagai Dewan Dato’ Penggawa Permatang Daerah Kuala Selangor.

Cadangan nama itu berdasarkan sejarah gelaran kepada Orang Besar Daerah Kuala Selangor yang dilantik Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, sebagai wakil baginda di daerah berkenaan.

Gelaran itu tercatat dalam sejarah Selangor sejak 1785 masihi ketika pemerintahan Sultan Ibrahim, iaitu Sultan Selangor Kedua.

Antara Orang Besar Daerah dahulu adalah Dato’ Ahmad Abu, Dato’ Mohd Shah Salleh dan Dato’ Ismail Mohd Shah.

Dato’ Penggawa Permatang Paduka Maha Bijaya, Orang Besar Daerah Kuala Selangor ketika ini adalah Yang Di Hormatkan (YDH) Dato’ Mohamad Yaacob Dato’ Ismail.

Mengulas perkara itu, Ahli Dewan Negeri Bukit Malawati, Juwairiya Zulkifli menyifatkan dewan baharu berkenaan akan menjadi salah satu mercu tanda di Kuala Selangor.

“Syukur setelah sekian lama menunggu akhirnya (dewan) siap jua dan dirasmikan sendiri Dato’ Menteri Besar.

“Nama yang diberikan mendapat perkenan Tuanku (Sultan Selangor), bersesuaian dengan daerah Kuala Selangor yang bersejarah kerana salasilah Kesultanan Selangor bermula di sini,” katanya.

 


Pengarang :