SELANGOR

Naik taraf RTO hadapi cabaran dunia

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 APRIL: Organisasi penyelidikan dan teknologi (RTO) disaran menaik taraf perkhidmatannya dalam menghadapi pelbagai cabaran dunia masa kini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian (MITI), Hairil Yahri Yaacob berkata, beberapa tuntutan baharu perlu dipenuhi antaranya pengeluaran, penggunaan mampan, perubahan iklim, kesihatan dan keselamatan makanan.

“Bagi terus mengatasi persaingan dalam persekitaran perniagaan yang terus berubah dan berkembang ini, RTO perlu semakin maju selaras dengan usaha untuk mengekalkan operasi perniagaan mereka.

“RTO mesti memperkemaskan strategi mereka dan membangunkan model perniagaan baharu supaya dapat mengekalkan operasi penyelidikan mereka.

“Mereka mesti meningkatkan tahap kecekapan, produktiviti dan kualiti mereka untuk meningkatkan daya saing,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Pembangunan Modal Insan SIRIM-WAITRO di Hotel Concorde, di sini.

Hairil berkata, kolaborasi dan rangkaian global untuk multikultural inovasi itu membolehkan penyelesaian baharu yang memberikan nilai tambah terhadap pembangunan ekonomi.

Menerusinya, beliau berharap pelbagai landasan untuk menjana lebih banyak peluang perniagaan akan memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan dan persekitaran perniagaan domestik serta global.

Pada masa sama, Hairil berkata, kerajaan yakin bahawa pengenalan dasar berkaitan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) akan menjadikan industri berdaya saing dalam menghadapi cabaran berkenaan terutama penggunaan teknologi kepada perusahaan kecil dan sederhana.

Sebelum ini, seiring polisi kerajaan berkenaan IR 4.0, SIRIM memperkenalkan Pusat Kecemerlangan Kebangsaan untuk pengilangan pintar iaitu hab kerjasama bagi pemain industri, pemegang taruh, institusi penyelidikan dan pengajian tinggi untuk menjalin kerjasama ke arah IR 4.0.

Tiga program yang dilaksanakan di pusat kecemerlangan itu ialah standard kebolehpasaran, pembangunan kecekapan dan penggunaan teknologi IR4.0.


Pengarang :