SELANGOR

Penjawat awam digesa tingkat hasil negeri

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 APRIL: Penjawat awam Selangor digesa terus berusaha meningkatkan hasil negeri dan melaksanakan perbelanjaan lebih berhemah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, setiap ketua jabatan perlu melaksanakan kaedah penjimatan di jabatan masing-masing dengan mengoptimumkan sumber sedia ada, namun memastikan hasil maksimum.

“Anggaran defisit belanjawan pada tahun ini dijangkakan sebanyak RM360 juta, biarpun ia lebih rendah berbanding tahun-tahun lalu namun sebaik-baiknya kita pandai menyesuaikan perbelanjaan dengan hasil dan sumber sedia ada

“Sama-sama juga kita membantu Kerajaan Negeri dalam mencari ikhtiar untuk meningkatkan hasil negeri di samping mengurangkan defisit belanjawan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2018 Dan Anugerah Jasamu Dikenang (AJD) Tahun 2019, Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (PSUK), Di Dewan Banquet Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Dato’ Nor Azmie Diron; Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Dato’ Masri Mohd Daud dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Terdahulu, penganugerahan itu menyaksikan 141 penjawat awam menerima APC membabitkan sembilan jabatan, manakala 29 pesara dan bakal pesara menerima AJD membabitkan lapan jabatan.

 


Pengarang :