SELANGOR

PKNS RaudhahVille lancar 300 unit kediaman, berciri Islamik

OLEH SHEEDA FATHIL

CYBERJAYA, 9 APR: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melancarkan 300 unit rumah eksklusif atau multi generasi, PKNS RaudhahVille bagi fasa pertama yang dibina di dalam bandar Islam moden pertama di dunia, Raudhah City, di sini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Norita Mohd Sidek berkata, projek kediaman mewah mampu milik itu adalah kerjasama pintar antara PKNS selaku pemaju projek dan Raudhah City Sdn Bhd sebagai rakan pemasaran strategik.

Beliau berkata, projek perumahan RaudhahVille berkonsepkan ‘modern tropical’ dan mewah itu dibina di atas tapak seluas 12.10 hektar dengan menawarkan rekabentuk seluas 2,227 kaki persegi sehingga 3,796 kaki persegi.

“RaudhahVille ini bukan sahaja dilengkapi ciri kemudahan bandar pintar, namun pembeli bakal menikmati pelbagai kemudahan dan pembangunan yang sudah siap serta sedang dibina dalam bandar seluas 213.2 hektar ini.

“Bertemakan ‘Bandar Keamanan dan Kasih Sayang’, Raudhah City dibangunkan secara berperingkat meliputi pembangunan kluster pendidikan awal berasaskan montesori Islam iaitu kita sudah membangunkan kampus Sekolah Islam Antarabangsa Brainy Bunch.

“Selain itu, kita akan teruskan dengan pembangunan kluster pendidikan tinggi dan hab pelancongan perubatan, kluster multimedia kreatif dan hab halal, kluster komersial dan kluster kediaman,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, katanya, pihaknya menyasarkan 50,000 penduduk akan menetap di Raudhah City termasuk daripada segenap lapisan komuniti termasuk bukan Muslim.

Katanya, beliau percaya bandar itu akan menjadi contoh ciri bandar Islam moden selain patuh syariah, penekanan aspek keselamatan, kelestarian bandar dan perhubungan pintar antara bandar.

“Projek PKNS RaudhahVille mencatatkan kemajuan pembinaan sebanyak 75 peratus dan kini sudah dibuka dengan harga jualan dari RM1.2 juta sehingga RM2.1 juta sebelum diskaun serta dijangka siap sepenuhnya pada 2020.

“PKNS optimis projek ini bakal menepati citarasa rakyat berdasarkan konsep rekabentuk dan pemilihan lokasi yang dilihat amat strategik dengan pelbagai jaringan akses kemudahan logistik melalui Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Lembah Klang Selantan (SKVE), Lebuhraya ELITE dan Lebuhraya MEX,” katanya.

Terdahulu, majlis pelancaran RaudhahVille itu dirasmikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin di Selangor Cyber Valley, Sabtu lalu.


Pengarang :