NASIONAL

Prestasi bon AS jejas permintaan terhadap ringgit

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam dagangan awal hari ini, selepas diasak tekanan akibat peningkatan pulangan bon AS yang menjejaskan permintaan terhadap unit tempatan itu.

Pada 9.06 pagi ini, ringgit diniagakan pada 4.1270/1300 berbanding dolar AS daripada 4.1250/1300 sewaktu ditutup semalam.

Seorang peniaga berkata pelabur lebih memilih dolar AS berikutan kenaikan 20 mata asas bagi hasil Perbendaharaan AS 10 tahun sejak empat minggu lepas.

“Malah, kelemahan harga minyak global turut menjejaskan sentimen pasaran terhadap ringgit kerana ini turut memberi impak ke atas hasil minyak dan gas negara,” katanya.

Niaga hadapan minyak mentah Brent dan US West Texas Intermediate (WTI) pula masing-masing susut 0.4 peratus kepada US$74.24 setong dan US$66.02 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama dunia.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0406/0446 daripada 3.0400/0446 pada penutupan semalam dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.6881/6911 daripada 3.6876/6924.

Ringgit bagaimanapun meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3395/3450 daripada 5.3666/3748 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6293/6330 daripada 4.6431/6491.

-BERNAMA

 


Pengarang :