NASIONAL

Ringgit tidak berubah ketika dibuka berikutan kekurangan petunjuk baharu

KUALA LUMPUR, 9 APR: Ringgit tidak berubah ketika dibuka hari ini berikutan kekurangan petunjuk baharu susulan kebimbangan terhadap rancangan firma pelaburan dana negara Norway untuk mengurangkan pegangan mereka di dalam pasaran pesat membangun termasuk Malaysia.

Pada 9.20 pagi, unit tempatan didagangkan pada 4.0950/0980 berbanding dolar AS daripada 4.0950/ 0000 ketika ditutup semalam.

Peniaga berkata, firma pelaburan dana negara itu memiliki trilion dolar AS, yang terbesar di dunia, merancang untuk memperkemas portfolio pendapatan tetap bernilai US$300 bilion dengan mengurangkan bon pasaran pesat membangun berdasarkan indeks penanda aras yang dinilainya.

Pendedahan firma itu di dalam pasaran bon Malaysia dianggarkan US$1.9 bilion, katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0235/0268 daripada 3.0197/0245 dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.6773/6809 daripada 3.6750/6804.

Ringgit lemah berbanding pound British kepada 5.3530/3573 daripada 5.3485/3562 dan susut berbanding euro kepada 4.6126/6176 daripada 4.6024/6084.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :