SELANGOR

‘Suka atau tidak, IR4.0 akan tetap dihadapi’ – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

BESTARI JAYA, 15 APR : Suka ataupun tidak, Revolusi Industri 4.0 tetap dihadapi seluruh masyarakat dunia, termasuk penduduk Selangor, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, justeru itu, Selangor sentiasa bersiap sedia berdepan dengan revolusi berkenaan sejak 2018 bagi mengelakkan dari terus ketinggalan.

“Bermula tahun lalu Kerajaan Negeri melaksanakan Iktisas latihan teknikal dan pelbagai usaha lain berdepan dengan revolusi ini.

“Kita tidak bimbang kerana percaya manusia sentiasa cuba mengadaptasi perubahan yang berlaku di sekeliling mereka, jika terlambat, kita mungkin akan ketinggalan,” katanya ketika ucapan perasmian Debat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Piala Dato’ Menteri Besar Selangor, di UNISEL, hari ini.

Dalam ucapannya lagi, Amirudin berkata, beliau melihat China diantara negara paling kehadapan bagi melaksanakan IR4.0 terutamanya bagi sektor pembinaan.

“Ketika menyertai Mesyuarat Pelaburan Tahunan (AIM) di Dubai pada awal bulan ini, saya turut mendengar taklimat bahawa di China mereka membina bangunan setinggi 57 tingkat dalam tempoh 19 hari sahaja, sementara bangunan tiga hingga ke lima tingkat dalam tempoh sehari sahaja.

“Ini kerana kemampuan teknologi IR4.0, walaupun China sudah jauh ke hadapan, namun Selangor tidak ketinggalan, sebaliknya kita sedang berusaha seiring dengan matlamat Negeri Pintar 2025,” katanya.

 


Pengarang :