PUTRAJAYA, 27 Julai — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap pada Majlis Perasmian Persidangan dan Majlis Sambutan Hari Tanah Negara 2018 bertemakan ‘Meneroka Peluang Baharu Pembandaran Negara’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. –fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

TPM: Teliti kemungkinan wujud akta khusus keselamatan siber

PUTRAJAYA, 19 APR: Kerajaan sedang meneliti kemungkinan mewujudkan akta khusus keselamatan siber, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, perkara itu dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa e-Kedaulatan yang dipengerusikannya di sini hari ini, selain menyentuh mengenai Strategi Keselamatan Siber Negara, yang bakal dilancarkan Julai ini.

Jawatankuasa e-Kedaulatan adalah jawatankuasa tertinggi pengurusan keselamatan siber negara, dan bertanggungjawab menentukan dasar kerajaan dalam merancang dan melaksanakan strategi keselamatan siber.

Dr Wan Azizah berkata, Strategi Keselamatan Siber Negara akan menggariskan tindakan proaktif secara menyeluruh, bagi melindungi sistem kritikal negara, termasuk awam dan swasta serta perniagaan dan rakyat keseluruhannya.

“Strategi ini akan melibatkan pelaksanaan 37 pelan tindakan, bagi memperkasakan keselamatan alam siber negara,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan sempena mesyuarat jawatankuasa itu.

Pelaksanaan strategi juga melibatkan pembangunan satu pelan nasional bagi melaksanakan program kesedaran secara bersepadu melibatkan agensi kerajaan, swasta, pihak industri dan juga badan bukan kerajaan (NGO), katanya.

Beliau berkata, Strategi Keselamatan Siber Negara akan dilaksanakan melalui penggemblengan sumber tenaga dan pembangunan prasarana yang memfokuskan kepada pembentukan ‘National Cyber Security Workforce’ bagi memastikan negara dapat mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada.

Dr Wan Azizah berkata, lebih banyak langkah pencegahan bagi menangani ancaman siber akan dilaksanakan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ancaman dan serangan siber.

Beliau berkata, sebuah mekanisme perlu dikenal pasti menghentikan ‘postings’ atau hantaran melalui rangkaian media sosial yang berunsur jenayah.

Kerjasama dengan penyedia perkhidmatan platform media sosial seperti Facebook dan Twitter perlu ditingkatkan untuk memastikan hantaran yang berunsur jenayah akan diturunkan serta merta, katanya.

Dr Wan Azizah berkata, kerajaan juga akan meningkatkan keberkesanan tadbir urus pengurusan keselamatan siber negara melalui penstrukturan semula dan meningkatkan keupayaan agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) sebagai agensi pusat keselamatan siber.

Berdasarkan statistik NACSA pada 2018, 47 peratus insiden serangan siber yang dilaporkan adalah cubaan pencerobohan atau 1,862 kes, diikuti jangkitan malwares (1,444), pencerobohan (540), dan penafian perkhidmatan (88).

Bagi kes-kes jenayah siber pula, Dr Wan Azizah berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga Mac, menunjukkan kes penipuan telekomunikasi adalah penipuan siber paling banyak dilaporkan iaitu 849 kes melibatkan nilai RM28.7 juta, diikuti penipuan e-kewangan 225 kes (RM22.1 juta), 392 kes ‘love scam’ (RM15.3 juta) dan 841 penipuan e-dagang (RM4.3 juta).

Selain itu, terdapat juga kes melibatkan kesalahan dari segi kandungan Internet yang dilaporkan seperti akaun/laman web palsu, gangguan, fitnah dan penipuan, katanya.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pula, terdapat peningkatan sebanyak 19 peratus dalam bilangan aduan yang diterima berkenaan penyalahgunaan media sosial pada suku pertama tahun ini berbanding suku pertama 2018, katanya.

Dr Wan Azizah berkata, bagi melindungi kanak-kanak dalam talian, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah melaksanakan inisiatif berbentuk kempen keselamatan kanak-kanak yang dikenali sebagai Sahabat Bijak: Safe and Protect.

Katanya sebanyak 250 buah sekolah di seluruh negara yang melibatkan 60,579 orang terdiri daripada kanak-kanak, ibu bapa, penjaga, guru-guru dan masyarakat terlibat dengan kempen itu antara 2014 hingga 2018.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :