KUALA LUMPUR , 7 April — Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut sama bersama menyertai peserta berjalan kaki dan larian sempena Kempen Hidup Aktif peringkat Kebangsaan 2019 sempena ‘Car Free Morning’ di Jalan Raja Laut, hari ini. Turut bersama Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Dato Seri Dr. Chen Chaw Min (dua, kanan) dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (kiri). –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

‘X-Break’ 15 minit di setiap kementerian

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Kabinet bersetuju supaya setiap kementerian mengadakan aktiviti senaman selama 15 minit sehari bagi membudayakan gaya hidup sihat, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata program ‘X-Break’ itu memerlukan setiap kementerian mengadakan aktiviti senaman sama ada pada sebelah pagi atau petang untuk kakitangan mereka.

“Cadangan itu sudah dipersetujui oleh semua jemaah Menteri baru-baru ini, kami cadangkan 15 minit setiap hari sama ada pagi atau petang (untuk bersenam) tetapi ia fleksibel mengikut kesesuaian setiap kementerian.

“Sekarang ini memang ada kementerian yang sudah lakukan, tetapi kami akan keluarkan satu garis panduan buat semua yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen hidup aktif ‘Big WALK’ di sini, hari ini.

Beliau berkata sehubungan itu pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) esok untuk merangka satu Pekeliling bagi diedarkan kepada setiap kementerian.

Tahun lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mencadangkan agar kakitangan pejabat kerajaan mahupun swasta memperuntukkan masa selama 15 minit melakukan aktiviti senaman.

Perdana Menteri berkata kakitangan boleh berbuat demikian dengan berehat seketika sekitar pukul 11 pagi di luar pejabat berhawa dingin.

Terdahulu kira-kira 3,000 perserta bersenam dan berjalan sejauh tiga kilometer pada program Big WALK di ibu kota hari ini dalam usaha menggalakkan gaya hidup sihat. -BERNAMA


Pengarang :