SELANGOR

238 peniaga sumbang juadah berbuka

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 10 MEI: Seramai 238 peniaga bazar di sekitar Petaling Jaya menyumbang juadah berbuka puasa kepada golongan memerlukan seperti asnaf, ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya (OKU) sepanjang Ramadan ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Dato’ Mohd Sayuti Bakar berkata, hasil sumbangan daripada program jalinan kasih itu akan dikumpul dan diserahkan kepada golongan terpilih melalui Ahli Majlis MBPJ setiap zon.

Katanya, inisiatif itu sebagai usaha MBPJ ke arah ‘no poverty’, ‘zero hunger’ dan ‘partnership’ selari dengan matlamat ‘sustainable development goals’.

“Program ini mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan usahawan dan sedikit sebanyak membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan ketika menyambut Ramadan.

“Kerjasama antara MBPJ dan usahawan ini dapat memberi satu perkongsian baik kepada masyarakat di Petaling Jaya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program turun padang ke bazar Ramadan, di Damansara Damai, di sini.

Mohd Sayuthi turut berharap program berkenaan akan disertai lebih ramai peniaga dalam membantu meringankan beban golongan asnaf.

“Banyak program tanggungjawab sosial korporat yang kita laksanakan, namun kali ini sempena Ramadan, kita mahu peniaga turut membantu bersama-sama pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, MBPJ mengedarkan 1,000 unit mangkuk tingkat dan beg kitar semula kepada pengunjung bazar sekitar bandar raya itu, sempena Kempen Bebas Plastik.

Katanya, sebanyak 100,000 unit straw kitar semula turut diedarkan kepada usahawan mikro.

“MBPJ turut mengadakan program Hero Ramadan Hijau yang bertujuan menggalakkan pengunjung bazar membeli juadah berbuka dengan menggunakan bekas makanan.

“Pengunjung bazar yang terpilih akan menerima cenderahati sebagai tanda penghargaan, manakala imej pengunjung terpilih akan dimuat turun di laman sosial rasmi MBPJ sebagai tanda motivasi kepada masyarakat,” katanya.

Tahun ini, MBPJ menyediakan 19 lokasi tapak bazar meliputi 1,489 petak dan membabitkan 1,191 usahawan mikro (peniaga bazar) berlesen di seluruh Petaling Jaya.


Pengarang :