NASIONAL

AirAsia sedia tambah kekerapan penerbangan KL-Langkawi

LANGKAWI, 15 MEI: AirAsia bersedia menambah kekerapan penerbangan mingguan Kuala Lumpur (KL)-Langkawi daripada 63 kepada 80 penerbangan tahun ini untuk memenuhi permintaan yang meningkat, menurut Pengurus Pemasaran Kanan Bahagian Komersial, Shirley Tan.

“Kami menyaksikan pertumbuhan yang kukuh dari segi kedatangan pelancong ke Langkawi dan bercadang meningkatkan kekerapan penerbangan dari KL ke Langkawi,” katanya kepada Bernama selepas Sesi Libat Urus Pelancongan bersama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan syarikat penerbangan di sini, hari ini.

Sesi itu dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi dengan kerjasama MAHB dan syarikat-syarikat penerbangan lain untuk berkongsi pandangan mengenai Dana Promosi Pelancongan Antarabangsa Langkawi.

Tan berkata tarikan alam semula jadi yang terdapat di Langkawi menjadi faktor ia menjadi destinasi tumpuan pelancong.

“Ia merupakan lokasi yang paling menarik bagi pelancongan. Inilah faktor syarikat penerbangan seperti kami mahu menjalin kerjasama bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke pulau ini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :