SELANGOR

Aset kerajaan tidak terkecuali disaman jika biak Aedes

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 4 MEI: Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan tidak dikecualikan daripada tindakan saman jika didapati mempunyai tempat pembiakan Aedes dalam kawasan aset masing-masing.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, amalan meletakkan tanggungjawab membasmi pembiakan Aedes dalam kawasan aset Kerajaan Persekutuan kepada Pihak Berkuasa Tempatan perlu dihentikan.

“Kita kembangkan pencegahan denggi meletakkan ketua jabatan tidak kira persekutuan atau negeri untuk bertanggungjawab kepada pelupusan tapak pembiakan nyamuk Aedes di aset mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Hari Tanpa Tembakau dan Nafas Baru Bermula Ramadan Peringkat Kebangsaan di Pantai Bagan Lalang, di sini hari ini.

Siti Mariah berkata, pihak bertanggungjawab akan diberikan tiga notis sebelum dikenakan tindakan saman jika masalah sama terus berulang.

Bagaimanapun, pada masa ini beliau memberi peluang kepada kesemua agensi negeri dan persekutuan di Selangor untuk memastikan kawasan masing-masing sentiasa bersih bebas Aedes.


Pengarang :