GLOBAL

Bakal duta tekad perhebat hubungan Malaysia-Indonesia

JAKARTA, 29 MEI: Bakal Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar bertekad memperhebatkan hubungan Malaysia dan Indonesia, demi kepentingan kemakmuran bersama.

Beliau menggariskan lima pendekatan, untuk memperkukuh dan memperhebatkan lagi hubungan dua hala negara serumpun yang terjalin lebih 60 tahun itu.

“Rencana yang pertama adalah mengeratkan hubungan pemimpin kedua-dua negara kita. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memiliki hubungan personal yang cukup baik dengan Presiden Joko Widodo.

“Hubungan kekeluargaan ini cukup penting sekali kerana kedua-dua mereka menyatakan bahawa kita akan tetap bersaudara sampai kapan pun (sampai bila-bila),” katanya pada majlis berbuka puasa bersama pengamal media Indonesia, di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Empat lagi pendekatan, adalah menghebatkan hubungan kerjasama dua hala kedua-dua negara, kerjasama dalam bidang perdagangan, dan keselamatan.

Pendekatan kelima, katanya, adalah bekerjasama erat bersama pengamal media, dalam membantu pemerintah kedua-dua negara menangani cabaran semasa berkaitan perkongsian maklumat.

“Saya mengharapkan para insan media untuk terus mendukung usaha saya iaitu mengharmonikan hubungan rakyat kedua-dua negara kita, peranan media adalah amat penting untuk memerangi hoaks (berita palsu) dan elemen provokasi yang dapat memecahbelahkan persatuan kedua-dua negara kita,” katanya.

Pada 21 Mac lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengurniakan watikah pelantikan kepada Zainal Abidin sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia.

Ini setelah hampir setahun berlaku kekosongan jawatan itu, selepas tamat kontrak Datuk Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pada Jun 2018.

Sepanjang tempoh itu, Timbalan Duta, Zamshari Shaharan melaksanakan tanggungjawab sementara.

Zainal Abidin, 58, berasal dari Kedah, pernah berkhidmat di beberapa negara sebelum ini seperti di Jepun, Vietnam, Belgium, Republik Czech, dan jawatan terakhirnya sebelum ke Indonesia adalah Duta Besar Malaysia ke Sepanyol. – BERNAMA


Pengarang :