Barat mesti terima Timur kini setaraf atau lebih baik-PM | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Barat mesti terima Timur kini setaraf atau lebih baik-PM

TOKYO, 30 MEI: Barat harus menerima bahawa penyelidikan dan pembangunan selama bertahun-tahun, meningkatkan keupayaan negara Timur, yang tidak lagi meniru produk dari Barat, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pada mulanya mereka meniru produk dari Barat, kemudian menghasilkan produk yang lebih baik dan menerusi penyelidikan, mereka menghasilkan produk yang lebih baik … dalam bidang telefon, contohnya, Korea, Jepun dan China, yang membelanjakan lebih banyak wang untuk penyelidikan dan pembangunan berbanding kemungkinan di Eropah dan AS.

Menerusi pelaburan yang lebih besar, Timur telah meningkatkan produk, dan dunia mesti menerima realiti baharu ini, katanya.


“(Sebagai contoh), saya faham Huawei mempunyai kelebihan yang besar terhadap teknologi Amerika.

“Namun jika anda mahu situasi di mana anda sentiasa berada di hadapan, dan apabila anda tidak berada di hadapan, saya akan mengharamkan anda dan menghantar kapal perang ke negara anda, ini bukan persaingan, ini mengancam rakyat dan bukanlah pendekatan yang boleh digunakan.

“Dahulu kita mengharapkan segala-galanya dari Barat, kini ia datang dari Timur,” katanya pada sesi dialog di Persidangan Antarabangsa mengenai Masa Depan Asia (Nikkei Conference) di sini hari ini.

Dr Mahathir tiba di Tokyo malam tadi untuk lawatan kerja tiga hari.

Perdana Menteri berkata ekonomi Amerika Syarikat makmur kerana kebanyakan syarikatnya melabur di negara miskin, dengan kosnya jauh lebih rendah, termasuk di China.

“Banyak syarikat AS beroperasi di China, Malaysia dan negara-negara lain. Mereka pada asasnya, menghasilkan komponen dan bahagian untuk digunakan dalam produk Amerika Syarikat, dan oleh sebab itu, produk AS berdaya saing di dunia.

“Namun, jika semua syarikat yang mengeluarkan barangan ini beroperasi di Amerika Syarikat, kosnya akan menjadi sangat mahal dan ia tidak akan dapat bersaing dengan produk syarikat Timur”.

Dr Mahathir berkata ini berlaku apabila Jepun mula menunjukkan bahawa ia boleh menghasilkan semua peralatan dapur pada kos yang lebih rendah.

“Kita gunakan semua produk Barat, termasuk motosikal. Jepun mampu bersaing dengan Barat kerana etika kerja mereka dan upah yang lebih rendah. Namun jika AS mahu membangunkan segala-galanya di AS, kosnya akan menjadi sangat mahal dan produk mereka tidak akan berdaya saing.

“Bagaimanapun, AS unggul dalam bidang tertentu. Kita tahu mereka membina pesawat yang hebat, sebagai contoh, keupayaan dan kemahiran kejuruteraan mereka sangat tinggi,” kata Perdana Menteri.

-BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next