NASIONAL

Bursa Malaysia meningkat pada awal dagangan

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Bursa Malaysia mencatatkan peningkatan semula pada awal dagangan Jumaat, sejajar kenaikan dalam pasaran ekuiti Amerika Syarikat (AS).

Pada 9.08 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.09 mata kepada 1,602.28 daripada 1,599.19 ketika ditutup semalam, diterajui terutamanya oleh Public Bank, Dialog dan Digi.

Indeks itu dibuka 0.13 lebih tinggi pada 1,599.32.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 179 berbanding 69 manakala 141 kaunter tidak berubah, 1,522 kaunter tidak diniagakan dan 36 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 112.27 juta unit bernilai RM48.16 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata prestasi positif semalaman yang dicatatkan pasaran global akan mendorong peningkatan semula jangka pendek bagi saham Malaysia.

“Pada masa sama, walaupun dagangan minggu ini dijangka berakhir dengan prestasi positif, namun kenaikan ketara sukar dicapai, dengan pelabur segera merealisasikan keuntungan belum nyata yang terakru dalam saham sama ada menerusi penjualan kesemua atau sebahagian pegangan mereka,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Purata Industri Dow Jones meningkat 214.66 mata kepada 25,862.68, manakala S&P 500 naik 25.36 mata kepada 2,876.32, didorong prestasi pendapatan korporat AS, data ekonomi dan harga minyak mentah yang positif.

Menurut Malacca Securities, persekitaran pasaran keseluruhan masih amat berhati-hati di tengah-tengah krisis perdagangan AS-China yang tidak dapat diselesaikan.

Ini terutamanya selepas China mengancam untuk bertindak balas terhadap sekatan AS yang dilihat sebagai usaha untuk mengehadkan perdagangan antarabangsa syarikat utama teknologi China, Huawei.

“Pada masa sama, keadaan ekonomi Malaysia dijangka lembap bagi suku tahun akan datang, walaupun merekodkan prestasi yang agak memuaskan pada suku pertama 2019,” menurutnya.

Bursa Malaysia juga berhati-hati dalam tempoh pelaporan semasa prestasi kewangan korporat tempatan.

Antara saham berwajaran tinggi, Public Bank menambah 12 sen kepada RM22.38, Dialog naik lapan sen kepada RM3.30 dan Digi meningkat lima sen kepada RM4.70.

Maybank dan Maxis masing-masing naik tiga sen kepada RM8.99 dan RM5.33.

Bagi saham aktif didagangkan, Impiana Hotel tidak berubah pada empat sen, Bumi Armada menokok setengah sen kepada 19.5 sen dan Grand-Flo menambah empat sen kepada 24.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 27.45 mata kepada 11,290.83, Indeks FBMT 100 menambah 30.44 mata kepada 11,127.56 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 23.63 mata kepada 11,455.81.

FBM 70 mengukuh dengan 74.31 mata kepada 13,893.01 dan FBM Ace naik 4.92 mata kepada 4,431.30.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 23.07 mata kepada 16,519.79, tetapi Indeks Perladangan turun 3.68 mata pada 6,868.98 serta Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.46 mata kepada 163.61.

-BERNAMA


Pengarang :