SELANGOR

Diskaun 60 peratus buat pemilik harta kemas kini data

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 1 MEI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menawarkan diskaun 60 peratus kepada pemilik harta yang membuat pengemaskinian data Maklumat Pemilikan Harta bermula 2 Mei sehingga 30 Jun ini.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, mereka perlu membayar proses itu dengan hanya RM20 daripada RM50 untuk setiap satu permohonan.

Katanya, tawaran itu dilaksanakan bertujuan memudahkan pembayar cukai taksiran untuk mengemaskini maklumat pemilikan harta selain memudahkan urusan pembayaran cukai taksiran mereka di MPK.

“Kempen ini melibatkan kemaskini maklumat pemilikan harta mereka dengan menggunakan Borang I iaitu Notis Jualan atau Pindahmilik merujuk Seksyen 160, Akta Kerajaan Tempatan.

“Borang J pula adalah Notis Pindahmilik Kematian merujuk Seksyen 160, Akta Kerajaan Tempatan,” katanya.

Katanya, Borang I dan Borang J dan dokumen yang berkaitan boleh dikemukakan penjual atau pembeli atau pemilik hartanah di Lobi Aras Bawah, Bangunan Sultan Alam Shah, MPK dan di Aras 1, Kaunter Bahagian Penilaian, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta untuk tujuan mengemaskini maklumat pemilikan harta mereka.

Maklumat lanjut berkenaan kempen itu, boleh menghubungi Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta.


Pengarang :