RENCANA

Jujurlah, PPR bukan lubuk pelaburan!

OLEH SAKINI MOHD SAID

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Kerap kali ada saja cerita yang heboh mengenai masyarakat Projek Perumahan Rakyat (PPR) sama ada melalui media perdana mahupun media sosial.

Ada yang memerlukan rumah PPR, yang berhutang sewa, yang dihalau, sewa atas sewa dan macam-macam lagi.

Baru-baru ini ketika melawat seorang rakan di sebuah hospital, saya terdengar perbualan seorang pesakit di katil berdekatan mengenai penyewa rumahnya di PPR.

Perbualan wanita yang berusia dalam lingkungan 50-an itu dengan anaknya jelas kedengaran kerana suasana di wad agak tenang, tidak ramai orang.

“Mak risaulah penyewa rumah kita tu. Dia ugut nak lapor kepada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) pasal kita sewakan bilik-bilik kita kepada orang luar.

“Mak baru saja cakap hendak halau kalau dia tak bayar sewa tapi dia ugut mak pula. Dahlah banyak bulan tak bayar,” kata wanita itu tanpa cuba memperlahankan suaranya sedangkan dia sedar apa yang dilakukannya itu adalah satu kesalahan.

“Ini mesti kes sewa atas sewa,” detik hati saya.

Walaupun perbualan mereka hanya seketika, sedikit sebanyak membuatkan saya faham bahawa wanita itu menyalahgunakan kemudahan PPR dengan menyewakan unitnya kepada pihak ketiga.

Mungkin sebelum ini wanita itu layak mendapat kemudahan PPR dan kini kehidupan keluarganya bertambah baik, maka mereka berpindah ke rumah yang lebih selesa. Namun, unit PPR tidak diserahkan kembali kepada DBKL.

Mungkin ada yang terfikir, berani juga pihak ketiga menyewa unit PPR sedangkan mereka tahu bahawa itu satu kesalahan.

Hakikatnya, sesetengah keluarga sanggup berbuat demikian meskipun terpaksa mengambil risiko dihalau serta-merta oleh pihak berkuasa, sama ada kerana tidak mampu ataupun mengambil kesempatan.

Tidak dinafikan, perniagaan sewa atas sewa rumah PPR bukanlah isu baharu malah ia sudah berakar umbi sejak lama. Semuanya, berpunca daripada sikap tamak segelintir penghuni untuk mencari keuntungan mudah.

Walhal, projek perumahan itu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan yang bekerja di tengah-tengah kepesatan pembangunan ibu negara untuk memiliki dan tinggal di rumah selesa, bukannya dijadikan pelaburan!

Bagi yang kurang jelas, wajar difahami bahawa konsep PPR sebenarnya terdiri daripada dua kategori iaitu PPR Disewa dan PPR Dimiliki.

Berdasarkan maklumat di laman sesawang Jabatan Perumahan Negara, PPR Disewa diperkenalkan pada Feb 2002 bertujuan untuk disewakan kepada golongan sasaran (berpendapatan rendah dan setinggan) pada kadar RM94 sehingga RM124 sebulan.

Manakala, PPR Dimiliki yang bertujuan membolehkan golongan B40 memiliki rumah sendiri dijual pada harga RM35,000 seunit di Semenanjung Malaysia dan RM42,000 seunit di Sabah dan Sarawak.

Bayangkan, kadar sewa hanya RM94 sehingga RM124 sebulan untuk satu unit rumah PPR, pastinya ia antara termurah di KL, berbanding kadar sewa bilik yang kini mencecah RM300.

Jadi tidak hairanlah jika permintaan terhadap PPR sangat tinggi. Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dalam satu laporan berita baru-baru ini, DBKL mempunyai 25,000 senarai pemohon yang layak mendapatkan kemudahan PPR dan Perumahan Awam (PA) namun tidak dapat diberikan unit sewa kerana tiada kekosongan.

Justeru, adalah tidak adil apabila mereka yang benar-benar memerlukan terpaksa menunggu giliran untuk tempoh lama hanya disebabkan orang yang sudah mampu enggan melepaskan unit yang hakikatnya sudah tidak menjadi kediamannya lagi.

Kerana itulah, perlakuan dan sikap tidak bermoral ini perlu dibanteras sehabis-habisan kerana ia juga menjadi punca kepada pelbagai masalah. Kita tidak mahu situasi sebegini berterusan kerana ketamakan penyewa asal mengaut keuntungan mengambil kesempatan terhadap orang yang lebih memerlukan.

Ada yang menyewakan unit pada kadar RM500 sehingga RM1,200 sebulan sekiranya dilengkapi perabot sedangkan pemilik asal menyewa dengan kerajaan pada kadar RM94 sehingga RM124 sebulan sahaja.

Lebih teruk, apabila ada diantara mereka yang menyewakan unit PPR kepada warga asing, sekali gus menimbulkan ketidakselesaan kepada penghuni lain, malah ada yang mencetuskan masalah sosial.

Permasalahan ini mendapat perhatian serius Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin. Beliau pada awal Mac memberi amaran akan mengambil tindakan tegas dalam menangani penyalahgunaan PPR yang melibatkan penyewaan atau penjualan tidak sah dalam masa terdekat.

“Secara jelas syarat penyewaan dalam Kontrak Perjanjian Penyewaan Rumah PPR telah tertera klausa yang menetapkan bahawa, penyewa tidak dibenarkan memberi sewa atau melepaskan pemilikan rumah kepada orang lain, sama ada secara penuh (untuk keseluruhan kediaman) ataupun sebahagian daripada kediaman (sewaan bilik).

“Bagi pihak yang melanggar syarat-syarat ditetapkan dan dipersetujui ini, satu Notis Penamatan oleh Kerajaan Negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan akan diberikan,” katanya dalam satu petikan berita.

Meskipun begitu, tidak bermakna mereka yang membeli unit PPR boleh sewenang-wenangnya menyewakan unit kepada penyewa lain.

Menurut Zuraida, perjanjian penjualan rumah PPR terdapat syarat yang dipersetujui dalam Perjanjian Jual Beli & Surat Akuan Bersumpah, bahawa setiap unit PPR yang dibeli adalah “untuk diduduki oleh pembeli dan tidak akan disewakan kepada orang lain”.

Mereka yang melanggar syarat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda oleh mahkamah mengikut Akta Akuan Berkanun 1960, sekiranya didapati bersalah.

Dalam hal ini, pihak Pihat Berkuasa Tempatan (PBT) perlulah sentiasa melakukan audit berkala dan memperbanyakkan operasi secara berterusan bagi memastikan unit PPR yang disewakan atau dibeli tidak disalahgunakan.

Yang penting, operasi janganlah sekadar hangat-hangat tahi ayam. Hanya bersungguh-sungguh ketika isu berkenaan bahang diperkatakan kemudian senyap tanpa tindakan.

Perlu juga diingat bahawa permasalahan itu tidak dapat diselesaikan tanpa kerjasama penghuni PPR.

Amat penting, bagi setiap penghuni PPR menyalurkan maklumat kepada PBT sekiranya mengetahui mana-mana pemilik didapati menyalahgunakan kemudahan yang diberikan kerajaan.

Kalangan penyewa yang sudah hilang kelayakan juga hendaklah jujur untuk menyerahkan kembali rumah tersebut kepada PBT agar dapat diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

(Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis)

– BERNAMA


Pengarang :