SEPANG, 17 Mei — Lelaki warga Nigeria direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, yang ditemui mati di sebuah kondominium di Cyberjaya pada Rabu. Perintah reman berkuatkuasa hari ini itu dikeluarkan oleh Majistret A.Akhiruddin@Boy Acho selepas mendengar permohonan daripada pihak polis di Mahkamah Majistret Sepang. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Mahkamah sambung reman ke atas suspek bunuh Siti Kharina

SEPANG, 23 Mei: Tempoh tahanan reman seorang lelaki warga Nigeria disambung tujuh hari hingga 30 Mei bagi membantu siasatan kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin.

Perintah reman yang berkuat kuasa esok itu dikeluarkan oleh Majistret A. Akhiruddin@Boy Acho selepas mendengar permohonan daripada pihak polis di Mahkamah Majistret Sepang.

Perintah reman dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini warga Nigeria berusia 36 tahun itu direman seminggu bermula 17 Mei dan berakhir hari ini.

Siti Kharina, 40, dilaporkan hilang sejak 8 Mei lepas dan misteri kehilangannya terungkai apabila mayatnya ditemui pemilik kondominium yang disewanya di Cyberjaya dengan kesan kelar di dada, leher dan kepala pada 15 Mei.

Selain lelaki Nigeria berkenaan, turut ditahan susulan penemuan mayat Siti Kharina itu ialah seorang wanita warga Nigeria dan seorang lelaki warga Pakistan.

Semalam Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata tempoh reman wanita Nigeria dan lelaki Pakistan disambung tujuh hari mulai hari ini hingga 29 Mei. -BERNAMA


Pengarang :