NASIONAL

Masyarakat harus berani tampil buat aduan kecurangan moral

KUCHING, 21 Mei: Masyarakat harus berani tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa terutamanya kepada polis untuk bersama menangani salah guna kuasa dan kecurangan moral yang berlaku dalam masyarakat, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Merujuk kepada tangkapan seorang guru yang dituduh mencabul kehormatan tiga murid di Daerah Lawas, beliau turut meminta supaya pihak polis dapat membuat siasatan yang rapi supaya kes seumpama ini dapat diadili dengan sewajarnya.

“Adalah sangat mendukacitakan sekiranya seorang guru yang diharap mendidik dan mengasuh anak tergamak melakukan tindakan yang tidak bermoral ini, dan kalau dapatan siasatan itu benar maka pelakunya harus dibawa ke muka pengadilan dan dihukum dengan sewajarnya.

“Kita tidak boleh membiarkan kegiatan jenayah terus menular dan pelakunya bebas melepaskan diri dari tindakan undang undang,” Baru, yang juga Anggota Parlimen Selangau dan Anggota Dewan Undangan Negeri Ba’kelalan, berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, seorang guru, 31, ditahan di Balai Polis Karamunsing,Kota Kinabalu Sabah pada 15 Mei.

Suspek lelaki itu, yang bertugas di Lawas sejak Januari 2012 hingga sekarang, ditahan untuk membantu siasatan kes gangguan seksual serta liwat membabitkan murid lelaki di sebuah sekolah rendah di Lawas pada 2016. -BERNAMA


Pengarang :