SELANGOR

NGO, pertubuhan agama digalak mohon program geran

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 27 MEI: Semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkaitan termasuk rumah ibadat di Selangor disaran mengambil peluang membuat permohonan Program Geran Kecil Alam Sekitar dan Geran Kecil Teknologi Hijau yang diperkenal Kerajaan Negeri, kata Hee Loy Sian.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, geran yang dibuka dengan peruntukan RM750,000 setiap tahun itu membolehkan pertubuhan berkenaan menjalankan projek berkaitan demi kelestarian dan kesejahteraan alam sekitar.

“NGO boleh memohon geran ini kerana saya dapati banyak organisasi tidak terkecuali pertubuhan agama seperti Buddha menjalankan tugas masing-masing, terutama ketika banjir kilat yang melanda Kelantan beberapa tahun lalu dan mereka turun padang untuk membantu masyarakat setempat di sana.

“Jadi, ia satu kerja yang amat berat untuk mereka dan kita harap geran kecil ini boleh membantu mereka membuat sedikit program kemasyarakatan dan kita memberikan peruntukan untuk buat program kitar semula termasuk bantuan lain,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Kajang berkata, Kerajaan Negeri menyasarkan penyertaan 100 peratus pada tahun ini susulan pencapaian sekitar 97.7 peratus pada tahun lalu dengan sebanyak 52 penerima Geran Kecil Alam Sekitar direkodkan membabitkan pembiayaan berjumlah RM244,357.

Katanya, bagi Geran Kecil Teknologi Hijau, sebanyak 46 penerima direkodkan pada tahun lalu dengan permohonan sebanyak RM420,726.80 atau 93.5 peratus.

“Objektif utama geran berkenaan adalah untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat berhubung kepentingan menjaga alam sekitar serta menggalakkan penggunaan teknologi hijau dalam kehidupan seharan rakyat,” katanya.

Permohonan geran boleh dibuat secara dalam talian dengan melayari laman sesawang rasmi Kerajaan Negeri www.selangor.gov.my bermula 2 Mei sehingga 31 Mei ini.

Pemakluman kelulusan permohonan geran kecil ini adalah selewat-lewatnya pada 17 Jun secara bersurat atau emel.

Sementara itu, organisasi atau persatuan perlu melaksanakan program yang diluluskan dalam tempoh 18 Jun sehingga 31 Oktober depan.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)


Pengarang :