SELANGOR

Program Bazar Ramadan Mampan pupuk cintai alam sekitar

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 14 MEI: Dalam usaha memupuk warga Shah Alam supaya mencintai alam sekitar, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil inisiatif menganjurkan Program Bazar Ramadan Mampan 2019, di Bazar Ramadan Seksyen 19, hari ini.

Timbalan Datuk Bandarnya, Mohd Rashidi Ruslan berkata, program itu bagi memberi kesedaran awam kepada masyarakat berhubung kepentingan menggunakan bag mudah urai (biodegradable) yang boleh dikitar semula.

“Kami percaya, langkah ini akan dapat membantu mengawal pencemaran alam sekitar akibat daripada pembuangan plastik dan polistirena yang tidak hancur.

“Selain itu, program ini juga suatu inisiatif pihak majlis bagi mendekati pengusaha dan penjaja makanan serta minuman di bazar Ramadan ini,” katanya kepada media ketika ditemui pada majlis perasmian program terbabit, di sini.

Pada masa sama, Mohd Rashidi memohon supaya pengusaha bazar mematuhi setiap syarat ditetapkan dan menjaga mutu makanan serta kebersihan.

Pada program terbabit, MBSA turut menyerahkan barangan kelengkapan pengendali makanan seperti apron, topi dan bekas makanan mesra alam kepada 119 pengusaha gerai di bazar itu.

MBSA juga mengagihkan 1,000 bekas bubur lambuk secara percuma kepada pengujung selain mangkuk tingkat sebagai simbolik kempen ‘Bebas Polistirena Shah Alam 2019’.

 

 


Pengarang :